Isu Kekurangan Tenaga Kerja JHEAINS Akan Diambil Perhatian
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

14 Disember 2025
KOTA KINABALU: Isu kekurangan tenaga kerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) perlu diberikan perhatian serius.
Ia bagi memastikan operasi jabatan berkenaan terus berjalan lancar selain memperkukuhkan peranan JHEAINS dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, beliau dimaklumkan keadaan itu sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Kekurangan kakitangan di peringkat daerah serta jumlah guru yang tidak mencukupi di Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama Negeri merupakan antara cabaran utama yang dibangkitkan.
“Saya menegaskan perlunya komitmen untuk memastikan isu berkenaan ditangani dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat JHEAINS di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), semalam.
Menurutnya, beliau turut memaklumkan keperluan penambahan sekolah menengah agama memandangkan jumlah pelajar semakin meningkat setiap tahun.
“Peningkatan permintaan terhadap pendidikan agama memerlukan penambahan institusi serta tenaga pengajar agar keperluan masyarakat dapat dipenuhi.
“Perkara itu akan diteliti dan tindakan susulan akan diambil bagi memperkukuh peranan JHEAINS dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat Sabah,” katanya.














