ISU KEMISKINAN DIGITAL DI SABAH PERLU DIBERI KEUTAMAAN: SALLEH
- Wartawan Nabalu News
- Nov 16, 2020
- 2 min read

16 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu kerajaan Sabah mencari penyelesaian terbaik kepada isu kemiskinan Digital di Sabah.
Ketika membuat seruan itu, beliau berkata kemiskinan digital merupakan satu keadaan serba kekurangan khususnya daripada segi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan masyarakat, samada dari segi kekurangan prasarana ICT ataupun kelemahan kemahiran ICT.
"Kemiskinan Digital ini tidak semestinya berkaitan dengan soal kedudukan ekonomi seseorang itu. Seseorang itu mungkin sudah mempunyai kelengkapan ICT seperti komputer, telefon pintar dan sambungan internet yang pantas, tetapi masih dianggap Miskin Digital.
"Ini kerana sesorang itu masih belum mahir menggunakan ICT sebaiknya untuk urusan utama harian yang sudah kian semakin lama semuanya beroperasi dalam talian, seperti bekerja, berniaga, dan berurusan,"katanya.
Salleh berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya perkara itu disebabkan masyarakat terlalu biasa dengan komunikasi bersemuka dan masih belum dapat mempraktikkan konsep ‘Bekerja-Dari-Rumah’ dan “Urus Niaga Dalam Talian”.
Beliau berpendapat isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerana ia akan memberi kesan ekonomi sebenar dan mengakibatkan Sabah ketinggalan lebih jauh dari arus pembangunan.
Sehubungan itu, Salleh berharap Kerajaan dapat merancangkan kaedah sewajarnya atau menyampaikan insentif bersesuaian untuk menangani isu Kemiskinan Digital di negeri ini.
Salleh turut mencadangkan supaya senarai nama e-Kasih dikemaskinikan segera bagi memastikan perkhidmatan sampai kepada semua yang layak.
Beliau berkata ini boleh dilakukan dengan memaparkan semua senarai nama nama-nama berdaftar e-Kasih di Balai Raya atau mana-mana yang lokasi sesuai.
Katanya terdapat keperluan untuk mengemaskinikan e-kasih bagi membolehkan kerajaan dapat menilai ketelusan dan integriti orang kampung untuk memainkan peranan semak dan imbang selain memperbaiki sebarang kelemahan urustadbir perkhidmatan tersebut agar ianya lebih cekap dan berkesan.
"Kita perlu pastikan hanya golongan sasar e-Kasih yang benar-benar memerlukan menerima bantuan tersenarai bantuan perlu disalurkan bersandarkan atas dasar kemanusiaan tanpa dipengaruhi oleh perbezaan bangsa, agama dan juga politik," katanya.
Comments