top of page

Isu Laut China Selatan Perlu Diurus Menerusi Saluran Diplomatik - Fahmi

  • nabalunews
  • Sep 11, 2024
  • 1 min read

11 September 2024


PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebarang isu berbangkit berkaitan Laut China Selatan perlu diuruskan menerusi saluran diplomatik.


Beliau berkata dakwaan kehadiran kapal perang tentera laut dan kapal pengawal pantai China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia baru-baru ini tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.


"....tetapi sebarang isu berbangkit (tentang Laut China Selatan) diurus melalui saluran diplomatik," katanya dalam sidang media di sini hari ini, lapor Bernama.


Pada 9 September lalu, Kementerian Luar dalam kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum laporan baru-baru ini mengenai kehadiran sebuah kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di Malaysia.


Bagaimanapun ia tidak dapat mengulas ketepatan atau butiran spesifik pergerakan kapal tentera itu kerana perkara itu berada di bawah pihak berkuasa operasi keselamatan dan pertahanan.


“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kami di kawasan maritim kami, seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979.


Menurut Kementerian Luar, kedudukan ini selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).


Ditanya sama ada Malaysia akan membawa isu Laut China Selatan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) nanti, Fahmi berkata agenda khusus untuk dibawa ke UNGA tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.


“Ini memandangkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya.


Beliau berkata Mohamad akan mewakili kerajaan dalam UNGA yang dijadual berlangsung di New York pada 22 September ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page