• nabalunews

Isu LCS: Cadangan penambahbaikan amalan perolehan pertahanan negara



11 Ogos 2022


Saya menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk mendedahkan laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) tentang projek kapal tempur pesisir (LCS).


Seperti yang saya perkatakan sebelum ini, masa hadapan projek LCS sama pentingnya dengan masa lalunya. Mereka yang bersalah perlu dihukum.


Projek ini mesti dipantau dengan teliti pada masa hadapan untuk memastikan tiada lagi wang rakyat dibazirkan.


Kita juga berharap agar kita dapat menerima LCS pada masa yang terdekat.


Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah menggariskan beberapa cadangan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.


Polemik ini harus mengajar kita tentang bagaimana dasar perolehan pertahanan Malaysia boleh diubah.


Saya ingin menggariskan beberapa pembaharuan yang boleh dilaksanakan ekoran masalah LCS.


Pertama, dasar pembangunan industri pertahanan kerajaan mesti dikaji semula. Adakah sasaran yang telah ditetapkan boleh dicapai? Apakah ia harus ditetapkan semula? Mungkin pengecualian kepada permohonan Program Kerjasama Industri (ICP) boleh dipertimbangkan untuk projek yang gagal atau lewat kerana ia mampu menjejaskan keselamatan negara.


Kita bukannya menentang Malaysia membina industri pertahanan tempatan. Syaratnya entiti yang terlibat perlu memiliki tadbir urus yang baik. Kelonggaran diperlukan—kegagalan ini boleh dikatakan menyebabkan masalah yang melanda LCS.


Tadbir urus dalaman harus diperkasakan. Amalan melantik bekas penjawat awam—termasuk anggota kanan tentera—ke lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukanlah perkara baharu. Namun, nampaknya tiada dasar atau arahan bertulis daripada Kementerian Kewangan mengenai pelantikan tersebut selain peruntukan am Akta Syarikat 2016.


Mungkin garis panduan diperlukan untuk menyediakan amalan terbaik seperti tempoh bertenang di antara apabila pegawai meninggalkan perkhidmatan dan pelantikannya ke GLC. Ini akan membantu mengelakkan masalah seperti potensi konflik kepentingan dan mengekalkan kebebasan lembaga pengarah.


Seterusnya, semua syarikat yang akan dipilih untuk projek bernilai tinggi atau kepentingan negara mesti menjalani usaha wajar kewangan mandatori sebelum sesuatu ditandatangani. Selain itu, mesti ada pengawasan yang lebih baik ke atas syarikat-syarikat ini.


Terdapat laporan berulang bahawa kontraktor LCS, BNS, memiliki kedudukan kewangan yang lemah. BNS boleh dikatakan kurang berprestasi dalam projek sebelumnya, NGPV. Namun ia masih diberikan projek LCS.

Ia adalah proses yang kompleks. Kementerian Kewangan perlu menghasilkan rangka kerja yang komprehensif untuk menilai syarikat pembida.


Selain itu, latihan mesti diberikan kepada semua tenaga kerja yang terlibat dalam proses perolehan kerajaan untuk membina kemahiran dan keupayaan institusi.


Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara harus merangka klausa dalam kontrak perolehan dengan perlindungan seperti menghalang bayaran daripada kerajaan digunakan untuk tujuan lain selain daripada projek.

Fasal tersebut juga harus melarang penciptaan atau penglibatan entiti tambahan antara kerajaan, kontraktor dan OEM; – ia juga tidak membenarkan kontraktor daripada melaksanakan dasar dalaman yang bertentangan dengan tadbir urus yang baik.


Selain itu, kita memerlukan Akta Perolehan Kerajaan.


Perundangan semasa—termasuk Akta Kontrak Kerajaan 1949—sama sekali tidak sesuai untuk tujuan dan proses perolehan Malaysia kerana mempunyai banyak kelemahan yang jelas.


Saya difahamkan ialah rang undang-undang mengikut garisan ini kini sedang digubal oleh Kementerian Kewangan dan ia telah mendapatkan maklum balas daripada kerajaan negeri. Peguam Negara harus menyegerakan semakan yang diperlukan supaya rang undang-undang itu dapat dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen dengan segera.


Akhir sekali, koordinasi kuasa yang mengawal kontrak perolehan yang kompleks dan jangka panjang mesti diubah.


Pendedahan yang paling mengejutkan dalam saga LCS ialah keperluan dan pandangan TLDM diabaikan atau ditolak oleh kerajaan dan kontraktor, termasuk mengenai reka bentuk kapal.


Mengapa membeli kapal walaupun TLDM sendiri tidak setuju dengan reka bentuknya?


Kelewatan projek itu berpunca kerana Menteri Pertahanan pada masa itu – Hishammudin Hussein yang kini menjawat jawatan sama – gagal bertindak atas permintaan lanjutan masa dan perubahan sebelum Pilihan Raya Umum 2018 dan pertukaran kerajaan. Kelewatan itu menambah kepada longgokan kos.


Oleh itu, kerajaan perlu melihat semula prerogatif individu yang dimiliki oleh Menteri ke atas kontrak perolehan, terutamanya pertahanan. Sudah tentu, perlu dirujuk siapa pengguna akhir sebelum kontraktor dipilih.


Secara keseluruhannya, pemerolehan pertahanan dan kerajaan secara amnya mesti dinyahpolitikkan, dengan kurang campur tangan.


Beberapa ahli politik telah mendakwa bahawa situasi semasa mesti dikekalkan untuk melindungi rahsia pertahanan Malaysia—termasuk berhubung dengan LCS.


Secara logiknya alasan ini tidak boleh digunakan untuk LCS-memandangkan projek ini berasaskan banyak peralatan dan teknologi luar negara. Kerahsiaan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk melindungi mereka yang bersalah atau menangguhkan penambahbaikan yang diperlukan tentang cara kerajaan kita membeli peralatan ketenteraan.


Tidak ada sebab untuk semua pihak tidak menerima pembaharuan yang digariskan di atas.


Jika kita gagal bertindak, LCS dan skandal lain akan berlaku, dalam bentuk yang berbeza, dan terus berlaku, dengan negara kerugian jumlah yang semakin besar setiap kali ia berlaku.


Tragedi berulang ini bukanlah pilihan untuk kita.


Nik Nazmi Nik Ahmad

Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat

Ahli Parlimen Setiawangsa