top of page
  • Wartawan Nabalu News

Isu miskin tegar: PM akan bertemu pegawai daerah minggu depan


15 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan semua pegawai daerah di seluruh negara minggu depan bagi membincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah kemiskinan tegar di negara ini.


Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melindungi golongan miskin khususnya di kawasan luar bandar.


"Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu nanti adalah menoktahkan kemiskinan tegar ini, ia akan dibincangkan dan bagaimana peringkat daerah boleh melaksanakannya," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang bertanyakan tentang program baharu yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha menoktahkan masalah kemiskinan tegar.


Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan RM750 juta dalam Belanjawan 2023 untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini dengan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Ekonomi bagi melaksanakan tiga program baharu termasuk pemberian pekerjaan kepada golongan tertentu.


Beliau berkata selain itu kerajaan turut memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM2,500 bagi bantuan golongan miskin dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah serta mempunyai lima orang anak.


"Jika mereka juga termasuk dalam kumpulan eKasih, mereka akan mendapat tambahan RM1,500," katanya.


Tambah beliau, kerajaan juga menyediakan latihan termasuk latihan perniagaan bagi membolehkan mereka berdikari agar mereka tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan.


"Kumpulan ini perlu diberi latihan terdahulu kemudian barulah mereka boleh berniaga. Kalau mereka berpaut dengan bantuan-bantuan yang ada, sampai bila mereka boleh keluar dari kemiskinan tegar. Mereka perlu dilatih dan menjadi usahawan kecil," katanya.


Ahmad berkata kerajaan menyediakan RM900 juta untuk melatih penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM330 juta oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).


Menurut data eKasih, bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar telah berkurangan daripada 124,744 kepada 118,217 orang bagi tempoh 15 Dis 2022 hingga 15 Mei lepas, manakala KIR miskin berdaftar pula berkurang daripada 304,911 kepada 299,080 KIR dalam tempoh yang sama.

Comments


bottom of page