Isu Pemilikan Tanah Fokus Utama Calon UPKO Nabawan
- nabalunews
- 13 minutes ago
- 2 min read

26 November 2025
KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, Junilin @ Jubilin Kilan bertekad untuk terus memperjuangkan isu pemilikan tanah yang membebankan penduduk di kawasan berkenaan.
Junilin berkata, antara keutamaan beliau adalah untuk menghapuskan konsesi pembalakan, Temporary Operating Licence (TOL) di lima mukim daerah Nabawan, sekali gus mengembalikan tanah terbabit kepada rakyat.
Selain itu, beliau juga berjanji mempercepatkan proses permohonan tanah dan geran penduduk yang lama tertangguh melalui tindakan tegas serta pentadbiran cekap.
“Kami juga akan melaksanakan inisiatif geran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) supaya penduduk Nabawan memiliki tanah sendiri dengan segera tanpa birokrasi yang melampau.
“Dalam masa sama, kami juga akan mempertahankan tanah adat yang kini berada dalam kawasan Hutan Simpan Kelas II agar ia kekal sebagai warisan anak watan Nabawan,” katanya.
Selain itu, beliau juga mahu menghapuskan status tanah skim dan menukarnya kepada geran individu yang akan memberi hak milik sebenar kepada penduduk tempatan.
Menyedari potensi besar Nabawan dalam sektor komoditi, Junilin turut merancang inisiatif pemberian anak benih kopi dan koko secara percuma bagi merancakkan pembangunan perusahaan tempatan.
Sementara itu, dalam visi beliau untuk membina Nabawan yang maju, adil dan sejahtera melalui anjakan ubah yang holistik, Junilin turut memberi tumpuan terhadap agenda pembangunan seimbang, pemerkasaan usahawan tempatan dan ekonomi bersepadu.
Tumpuan itu antaranya untuk menambah baik infrastrukur asas termasuk jalan, bekalan air bersih dan elektik, liputan internet, serta menubuhkan dana khas pembangunan Nabawan.
Dari aspek pemerkasaan keusahawanan, beliau mahu mempergiat program-program bimbingan dan latihan, menyediakan bantuan pembiayaan selain memperkukuh peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi membantu usahawan desa.
Bagi pembangunan modal insan, beliau menumpukan untuk meningkatkan kualiti pendidikan, menubuhkan kolej komuniti atau pusat latihan kemahiran (TVET) serta memperkasakan budaya dan warisan Murut.
Junilin berdepan saingan sembilan penjuru bagi kerusi Nabawan menentang Jekerison Kilan @ Kilam (KDM), Laiji Ompongoh (BN), Alfian A Koroh (Warisan), Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS), Farney Akon (PKS), Rejoh Ondoh (PIS), Akuang Suan (STAR) dan Sayau Tangkap (PN).


















Comments