Isu pemindahan penduduk setinggan di Kunak belum selesai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Isu pemindahan penduduk setinggan di Kunak belum selesai


15 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUNAK: Lebih 2,500 penduduk setinggan yang mendiami tanah milik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Bagiang dan Kunak Jaya masih belum mengetahui nasib mereka.


Ini kerana cadangan untuk memindahkan mereka ke dua lokasi baharu iaitu Kampung Hampilan dan pesisir Sungai Kunak Jaya masih dalam peringkat perbincangan antara LPPB dan Wakil Rakyat Kunak, Norazlinah Arif.


LPPB berhasrat untuk mengkomersialkan dua tapak perkampungan setinggan itu manakala Norazlinah pula mahu Kerajaan Negeri mengekalkan statusnya sebagai rezab kampung.


Mesyuarat yang diadakan di Pejabat Urusetia Kunak pada Rabu lalu tidak mencapai kata sepakat walaupun dihadiri oleh Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah, Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping, Pegawai Daerah, Awang Mohd. Yusoff serta wakil Jabatan Tanah dan Ukur daerah, Jabatan Perhutanan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Masiung memberitahu bahawa LPPB bersedia bekerjasama jika penduduk setinggan bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu yang dicadangkan.


"Kita sedar ada pelbagai kontroversi dalam usaha ini tetapi saya harap ada penyelesaian holistik yang boleh dicapai melalui perbincangan," katanya.


Norazlinah pula berkata beliau akan berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk membincangkan isu ini.


Beliau juga mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menyediakan kawasan baharu untuk LPPB sebagai alternatif menggantikan dua perkampungan setinggan itu.


"Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Bagiang...saya tahu usaha nenek moyang kami memohon tapak perkampungan itu dan menetap lebih awal daripada LPPB yang hanya mendapat hak milik tanah pada awal 90an," katanya.


Beliau mendakwa terdapat 400 buah rumah di Kampung Bagiang dan lebih 100 rumah di Kunak Jaya yang didiami oleh 90 peratus rakyat tempatan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page