Isu Pendidikan Sabah masih dalam perbincangan, tuntutan akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Bersama
- nabalunews
- Oct 24, 2024
- 1 min read

24 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Tuntutan berkaitan isu pendidikan di Sabah, yang merangkumi aspek infrastruktur, pengurusan, kurikulum, dan dasar pendidikan, masih dalam proses perbincangan walaupun telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah pada Ogos lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan, mesyuarat tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah.
“Isu pendidikan di Sabah melibatkan tuntutan yang diterima oleh KPM, termasuk infrastruktur pendidikan, pengurusan pendidikan, kurikulum, dan dasar pendidikan.
“Semua tuntutan berkaitan isu pendidikan di negeri Sabah akan dibawa untuk penelitian dan pertimbangan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah yang akan dipengerusikan secara bersama antara Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif) dalam tempoh terdekat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, lapor Bernama.
Menjawab soalan daripada Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), Fadillah menjelaskan bahawa sebahagian besar tuntutan pendidikan di Sarawak telah dipersetujui melalui perbincangan di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sementara tuntutan di Sabah masih memerlukan rundingan lanjut di peringkat KPM.
Beliau juga memaklumkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM), akan terus memantau perkembangan isu ini bersama semua pemegang taruh di peringkat Persekutuan dan Negeri Sabah.
Comments