Isu Rasuah ADUN Sabah Tidak Dilindungi
- nabalunews
- May 30, 2025
- 2 min read

30 Mei 2025
PENAMPANG: Siasatan berhubung isu skandal rasuah menerusi penyebaran video melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah perlu dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang yang teratur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru menerima video lengkap bulan lalu dan perlu dirujuk kepada forensik untuk siasatan rapi.
Katanya, beliau menolak dakwaan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam salah laku atau pihak pemberi maklumat, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.

“Jadi saya nak terangkan supaya semua faham, saya tidak mahu pegang jawatan dalam kerajaan untuk melindungi. (Ada dakwaan) Perdana Menteri mesti ambil tindakan, Perdana Menteri tidak tegas, Perdana Menteri sebut anti rasuah tapi mengizinkan (amalan rasuah).
“Ini Perdana Menteri bukan diktator bah, saya ikut hukum, saya kena lalui proses, saya tidak boleh tangkap begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.
Anwar berkata, siasatan adalah tugas SPRM atau polis, manakala pendakwaan akan dilakukan oleh Peguam Negara dan hukuman pula dijatuhkan oleh hakim.
“Perdana Menteri itu harus menjaga supaya sistem tersebut berjalan dengan betul. Bukan Perdana Menteri yang siasat, dakwa dan hukum.
“Itu diktator namanya. Kita pernah lalui dulu dan saya tahu itu, jangan minta saya ulang sistem begitu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar mengakui pada awalnya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam isu skandal video berkenaan, namun penyebaran meluas rakaman itu menimbulkan pelbagai persepsi, termasuk dakwaan kononnya wujud usaha untuk menutup kes terbabit.
“Tentunya saya tidak campur pada mulanya, tetapi bila hal itu hangat, saya minta pandangan daripada SPRM berkaitan video-video ini.
“Tuduhannya bahawa kita menutup (isu tersebut), itu persepsi, dibangkitkan persepsi terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup perbuatan rasuah dan kesalahan,” katanya.
Anwar turut mengakui telah menonton video tular berkenaan dan mengesahkan ia kelihatan seperti tulen, namun beliau menegaskan bahawa tindakan tidak boleh diambil hanya berdasarkan rakaman separuh jalan tanpa bukti yang sahih.
“Jadi saya tanya SPRM, video yang heboh ini saya pun tengok, nampak macam betul, apa masalahnya?
“Jawapan rasmi mereka, kalau ikut hukum, video sekerat-sekerat ini boleh disiasat tapi tidak boleh didakwa. Tidak ada mahkamah yang akan terima video sekerat-sekerat, apalagi zaman teknologi kecerdasan buatan (AI), jadi sebab itu kena siasat,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyifatkan perkara itu menimbulkan suasana yang tidak sihat, lebih-lebih lagi ketika Sabah bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kadang-kadang dalam pergelutan ketika menghampiri PRN Sabah, pimpinan yang pernah memimpin, yang bersama-sama, kadang-kadang lupa.
“Semata-mata untuk menghangatkan suhu politik ataupun membangkitkan isu yang menimbulkan terhakisnya keyakinan kepada negara. Ini tidak sihat,” katanya.


















Comments