top of page

Isu tafsiran MA63 berkaitan minyak, gas perlu ditentukan mahkamah – Pemuda Gagasan Rakyat

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

28 Januari 2026


KOTA KINABALU: Isu tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan pemilikan dan kawal selia sumber minyak dan gas wajar ditentukan mahkamah secara muktamad berlandaskan Perlembagaan, kata Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).


Ketua Penerangan sayap itu, Barhul Sahibu berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Azalina Othman Said, yang menyatakan MA63 tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan minyak dan gas, menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran perlembagaan serta semangat pembentukan Malaysia.


Menurutnya, persoalan utama yang perlu dijelaskan ialah sama ada kenyataan tersebut mencerminkan pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa sumber minyak dan gas sama sekali tidak termasuk dalam kerangka hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah MA63.


“Sekiranya benar, maka penjelasan itu wajar dinyatakan secara jelas dan konsisten, memandangkan MA63 selama ini sering dirujuk sebagai asas tuntutan hak negeri, termasuk dalam konteks sumber dan hasil,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, walaupun MA63 tidak menyebut secara literal mengenai petroleum, dokumen tersebut tidak boleh ditafsir secara sempit kerana ia merupakan asas pembentukan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan.


Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya menafikan atau menghakis semangat, hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.


Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gagasan Rakyat menyarankan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membawa isu tafsiran MA63 berkaitan minyak dan gas ke mahkamah bagi memastikan penentuan dibuat secara sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan.


“Isu ini bukan soal emosi atau retorik politik, tetapi melibatkan hak perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keadilan kepada Sabah.


“Kepastian undang-undang amat penting demi hubungan Persekutuan–Negeri yang sihat, stabil dan berasaskan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page