top of page

Kerajaan perkukuh pelan intervensi pacu ekonomi Sabah

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

28 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Pelbagai langkah intervensi sedang dan akan dilaksanakan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sabah bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.


Menurut beliau, menerusi Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12, komitmen kerajaan terhadap Sabah dizahirkan melalui penyelesaian 13 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Katanya, ia termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri, pengiktirafan Jabatan Teknik Sabah serta pelantikan wakil Kerajaan Sabah sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


“Selain itu, Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah turut dinaikkan secara signifikan daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta pada tahun 2025.


“Manakala sebanyak RM28.64 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan ekonomi asas di negeri tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai pelan intervensi khusus untuk memacu semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah yang mencatatkan pertumbuhan 1.1 peratus pada 2024 berbanding 5.1 peratus di peringkat nasional bagi memastikan jurang ekonomi antara wilayah tidak semakin melebar.


Mohd Shahar menjelaskan, bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah pelaburan yang diluluskan di Sabah bernilai RM11.91 bilion, merangkumi RM5.29 bilion pelaburan domestik dan RM6.62 bilion pelaburan asing.


Dalam sektor agromakanan pula, katanya, sebanyak RM156.72 juta pelaburan telah dijana oleh syarikat yang menerima insentif kementerian bagi tempoh 2020 hingga 2025.


“Sabah turut mencatat pencapaian dalam ekonomi hijau apabila penjualan lebih 20,000 tan karbon dioksida setara daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut dilaksanakan melalui Bursa Carbon Exchange.


“Petunjuk sosioekonomi Sabah juga menunjukkan peningkatan apabila pendapatan purata isi rumah meningkat kepada RM5,836 pada 2024, berbanding RM5,087 pada 2019,” ujarnya.


Tambahnya, dalam aspek infrastruktur, sebanyak 301.86 kilometer jalan luar bandar berjaya disiapkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sehingga Disember 2025.


Menerusi RMK13 pula, katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan akses kesihatan, perumahan, penciptaan kekayaan, transformasi digital, penggunaan teknologi maju termasuk kecerdasan buatan (AI) serta pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


“RMK13 turut memberi keutamaan kepada industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi serta sektor strategik seperti pelancongan, perkhidmatan global, ekonomi jingga dan kewangan.


“Sabah juga dikenal pasti sebagai hab ekonomi biru dengan potensi besar, selain penerokaan zon ekonomi khas termasuk zon pengeluaran makanan berdasarkan kelebihan dan potensi setempat,” ujar beliau.


Menurutnya, bagi tahun ini, peruntukan pembangunan Sabah ditingkatkan kepada RM6.9 bilion, kenaikan 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan pelaksanaan projek utama seperti Pusat Jantung Sabah, Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan projek bekalan air negeri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page