top of page

Penganggur Warga Asing Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM5,600

  • nabalunews
  • 20m
  • 1 min read

28 Januari 2026


SEMPORNA: Seorang penganggur warga asing ditahan bersama 51.13 gram dadah jenis syabu dalam operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa di Kampung Batu, di sini, semalam.


Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam menerusi operasi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.


Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, operasi dijalankan hasil maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan


Katanya, sebaik berada di lokasi, pasukan operasi mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampiri suspek untuk pemeriksaan.


“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya diberkas.


“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram yang disimpan dalam satu bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Tan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit merupakan warganegara asing dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine.


Katanya, semakan mendapati suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, Tan menegaskan pihaknya terus mempergiat usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda di Semporna.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page