top of page

Suntikan Fiskal Perkasa Latihan Industri, Sokong Kesiapsiagaan Graduan

  • nabalunews
  • 11 hours ago
  • 2 min read

28 Januari 2026


KOTA KINABALU: Dalam era digital yang semakin digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI), institusi pengajian tinggi berdepan cabaran besar untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari sudut teknologi, tetapi turut memiliki kebijaksanaan insan, pemikiran kritis serta pertimbangan etika yang kukuh.


Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Pascasiswazah) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jakaria Dasan, berkata universiti perlu memastikan keseimbangan antara kemahiran teknikal dan kematangan profesional agar graduan tidak sekadar menjadi ‘operator sistem’ tanpa keupayaan berfikir secara holistik.


Beliau berkata, semakan kurikulum seperti yang dilaksanakan oleh FPEP UMS baru-baru ini wajar memberi penekanan kepada keupayaan berfikir secara sistemik serta kebolehan menyesuaikan diri merentas fungsi, sejajar dengan keperluan industri semasa.

“Industri hari ini tidak hanya mencari graduan yang mahir dalam satu bidang khusus, sebaliknya individu yang mampu beradaptasi, memahami konteks organisasi dan membuat keputusan berlandaskan pertimbangan profesional,” katanya.


Mengulas lanjut, Dr. Jakaria menegaskan bahawa Latihan Industri (LI) kekal sebagai komponen penting dalam membentuk kesiapsiagaan graduan memasuki alam pekerjaan. Walaupun Generasi Z sering dikaitkan dengan kecekapan digital, pengalaman sebenar di tempat kerja tidak boleh digantikan sepenuhnya melalui pembelajaran dalam talian.


“LI merupakan medan penting untuk pelajar memahami budaya kerja, etika profesional serta menilai keserasian personaliti dengan kerjaya yang diceburi,” jelas beliau.


Namun demikian, realiti semasa menunjukkan ramai pelajar berdepan kesukaran mendapatkan penempatan LI yang bersesuaian akibat peluang yang terhad, kos sara hidup yang semakin meningkat serta ketiadaan elaun daripada sebahagian organisasi.


Keadaan ini, menurut beliau, memaksa pelajar membuat pilihan secara tangkap muat, bukan berdasarkan nilai pembelajaran terbaik, tetapi sekadar untuk memenuhi keperluan akademik.


“Jika trend ini berterusan, objektif LI untuk menguji dan memperkukuh kemahiran pelajar mengikut bidang pengajian akan menjadi semakin kurang bermakna,” katanya.


Sehubungan itu, Dr. Jakaria berpandangan bahawa sudah tiba masanya pelaksanaan LI diangkat sebagai agenda strategik nasional yang memerlukan campur tangan kerajaan, dan tidak diletakkan sepenuhnya di bahu universiti.


Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pengenalan insentif fiskal yang lebih fleksibel kepada majikan yang menyediakan peluang LI, termasuk potongan atau pengecualian cukai, khususnya kepada syarikat persendirian dan usahawan baharu yang komited membangunkan perniagaan.


“Pelajar LI sebenarnya boleh membantu kelancaran operasi syarikat kecil dan sederhana, di samping memperoleh pengalaman bernilai. Insentif yang bersesuaian mampu menggalakkan majikan menyediakan elaun serta bimbingan yang lebih berkualiti,” ujarnya.


Menurut beliau, sekiranya insentif kerajaan direka dengan mengambil kira kos bimbingan, masa penyeliaan, latihan dalaman dan elaun minimum pelajar, majikan akan lebih terdorong untuk menyediakan pengalaman LI yang tersusun dan bermakna, bukan sekadar memenuhi syarat.


Di peringkat universiti pula, beliau menekankan keperluan untuk mengubah naratif daripada sekadar mengejar kadar kebolehpasaran graduan kepada memperkukuh kebolehsuaian graduan dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan.


“Kurikulum perlu membina keupayaan berdikari, pemikiran kritis dan daya tahan profesional. Namun, usaha ini akan lebih berkesan jika ekosistem LI di pihak industri turut diperkasa melalui sokongan fiskal yang praktikal dan mudah diakses,” katanya.


Beliau menyimpulkan bahawa dialog industri–akademia jelas menunjukkan kesiapsiagaan graduan bukan hanya bergantung kepada kandungan kurikulum, tetapi juga kualiti pengalaman latihan industri di lapangan.


“Intervensi kerajaan melalui dasar insentif fiskal yang tuntas berpotensi menjadi pemangkin utama bagi memastikan ekosistem LI kekal relevan, inklusif dan berdaya saing, sekali gus melahirkan graduan yang cepat menyesuaikan diri serta mampu menyumbang secara langsung kepada produktiviti organisasi dan ekonomi negara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page