top of page

Kemasukan Awal Darjah Satu Perlu Dinilai Menyeluruh

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

28 Januari 2026


KOTA KINABALU: Dasar yang membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki darjah satu secara sukarela mulai 2027 perlu dinilai secara menyeluruh.


Ia bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar menyokong perkembangan holistik kanak-kanak, khususnya dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) di Sabah.


Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Juppri Bacotang berkata, dasar itu berpotensi memperkasakan sistem pendidikan awal, namun pelaksanaannya perlu ditangani dengan berhati-hati agar tidak mewujudkan ketidaksaksamaan baharu antara kanak-kanak bandar dan luar bandar.


Katanya, tahap kesediaan kanak-kanak di Sabah masih tidak seimbang berikutan perbezaan akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.


“Keadaan ini berisiko menyebabkan peluang kemasukan awal ke darjah satu lebih memihak kepada kanak-kanak di kawasan bandar dan separa bandar.


“Kemasukan awal tidak seharusnya membawa kepada pemendekan fasa pendidikan awal kanak-kanak atau penekanan berlebihan terhadap pencapaian akademik.


“Ini kerana pendidikan awal berperanan penting dalam pembentukan sahsiah, emosi dan sosial kanak-kanak,” katanya.


Dr. Juppri berkata, konsep “sukarela” dalam dasar berkenaan perlu diperjelaskan supaya tidak disalah tafsir oleh ibu bapa sebagai satu keperluan atau penanda aras kecerdasan anak.


Katanya, keputusan memasuki darjah satu pada usia enam tahun perlu dibuat berdasarkan penilaian kesediaan holistik merangkumi aspek kognitif, emosi, sosial dan fizikal.


“Pendekatan pembelajaran melalui bermain wajar terus menjadi teras dalam pengajaran kanak-kanak berusia enam tahun kerana kaedah ini terbukti menyokong perkembangan menyeluruh serta membentuk sikap positif terhadap pembelajaran,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai cabaran pelaksanaan di Sabah, Dr. Juppri menegaskan banyak sekolah luar bandar dan pedalaman masih berdepan kekangan bilangan guru terlatih, kemudahan pembelajaran dan sokongan profesional.


Katanya, peningkatan enrolmen darjah satu juga memerlukan penambahan guru serta kelas baharu bagi memastikan nisbah murid-guru berada pada tahap sesuai.


“Selain itu, implikasi kos pelaksanaan dasar ini perlu diberi perhatian serius, termasuk peruntukan untuk pengambilan guru baharu, penyediaan infrastruktur dan latihan profesional berterusan.


“Pelaburan dalam pendidikan awal, katanya, harus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi pembentukan modal insan berkualiti,” katanya.


Sehubungan itu, Dr. Juppri menyarankan agar peluasan akses pendidikan prasekolah berkualiti di Sabah serta kerjasama strategik antara kementerian dan institusi pengajian tinggi seperti UMS.


Katanya, oa bagi memastikan kesiapsiagaan guru dan sekolah sebelum dasar ini dilaksanakan secara meluas.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page