top of page

Isu tiga rakyat Malaysia memasuki perairan Filipina secara haram, tunggu dan hormat keputusan pihak berkuasa Filipina : Jauteh

  • nabalunews
  • Sep 7, 2024
  • 2 min read

7 September 2024


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah masih menunggu perkembangan lanjut dari pihak berkuasa Filipina berhubung penahanan pelancong warga China dan tiga rakyat Malaysia kerana memasuki perairan negara itu secara haram, Ahad lalu kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.


Katanya, PDRM menghormati tindakan yang diambil pihak berkuasa Filipina terhadap individu dari negara ini yang didapati memasuki wilayah negara itu secara haram.


“Setakat ini, belum ada maklumat lanjut yang kita terima daripada pihak berkuasa Filipina dan perkembangan terbaharu sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.


“Maklumat mengatakan mereka sudah dipindahkan di Manila juga belum diterima dan kita percaya apabila berlaku pergerakan sudah tentu pihak berkuasa di sana masih melaksanakan siasatan lanjut.


“Apa yang saya boleh katakan, kita tunggu keputusan pihak berkuasa Filipina dan kita hormati keputusan yang diambil walaupun kita mencadangkan dan mengharapkan untuk membebaskan mereka tetapi segala pelaksanaan undang-undang terletak sepenuhnya kepada Filipina,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Jauteh berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bil 68 Siri 3/2024 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, semalam.


Ahad lalu, lapan warga China dan tiga warga Malaysia ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di perairan Sitangkai, Tawi-Tawi, di selatan negara itu kerana didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju tanpa dokumen sah.


Difahamkan pelancong terbabit sedang bercuti di Semporna dan dilaporkan memancing di perairan Malaysia sebelum bot yang dinaiki secara tidak sengaja memasuki perairan Filipina akibat cuaca buruk.


Dalam pada itu, Jauteh juga memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat mengenai indikator jenayah di Sabah dan Malaysia.


Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung lesen operasi syarikat pelancongan yang membawa pelancong China yang terbabit dalam kes bot tersasar di Perairan Tugayo Hunasan, Filipina, Ahad lalu.


MOTAC memandang serius penahanan pelancong yang membabitkan urusan dikendalikan syarikat tempatan dan mengambil tindakan segera bagi menangani isu itu sementara menunggu siasatan lanjut.


Dalam satu kena baru-baru ini MOTAC berkata penggantungan ini akan kekal sehingga siasatan selesai dan terbukti bahawa agensi itu tidak terbabit dalam sebarang aktiviti haram.


"Jika siasatan mendapati terdapat sebarang kesalahan dilakukan Borneovac atau mana-mana entiti lain yang terbabit, tindakan yang sewajarnya akan di ambil termasuk penggantungan lesen secara kekal," menurut kenyataan itu.


MOTAC dalam kenyataan yang sama mengingatkan semua ejen pelancongan di negara ini memastikan semua pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi peraturan undang-undang.


"Ia adalah penting agar tidak terbabit atau mempromosikan sebarang amalan perniagaan yang tidak sah," katanya.


Ini kerana tindakan mempromosikan pakej pelancongan yang

merangkumi lawatan kedua atau beberapa negara dalam satu hari adalah satu pelanggaran yang serius.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page