Isu Ucapan Sentuh Sensitiviti Kristian: Pemuda, GEM UPKO Kota Belud Turut Buat Laporan Polis

Oleh Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 16 Sept: Pergerakan Pemuda dan Generasi Muda (GEM) UPKO Bahagian Kota Belud hari ini turut membuat laporan polis berhubung ucapan seorang pemimpin UMNO yang menyentuh sensitiviti penganut Kristian, khususnya masyarakat Katolik.
Laporan itu dibuat terhadap Ketua UMNO Bahagian Sepang, Selangor, Datuk Noorazli Said, susulan ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang didakwa mengandungi jenaka berunsur seksual serta mengaitkan kisah berkenaan dengan Kitab Mazmur 129.
Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, berkata ucapan itu menceritakan kisah membabitkan seorang paderi Katolik dan biarawati, termasuk menggambarkan paderi berkenaan menyentuh paha biarawati ketika memandu kenderaan.
Menurutnya, kisah itu kemudiannya dikaitkan dengan Mazmur 129 menerusi ungkapan “Go forth and seek further up and you will find glory” atau “semakin ke atas, semakin dekat dengan kejayaan”.
Jolyhame berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, profesional dan tanpa pilih kasih terhadap ucapan berkenaan.
Beliau turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat sama ada kenyataan itu melanggar Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan.
Katanya, siasatan juga perlu mengambil kira pandangan penganut Kristian dan pihak Gereja Katolik bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kesan ucapan berkenaan terhadap sensitiviti keagamaan.
Sementara itu, Ketua GEM UPKO Kota Belud, Vod Zanik Sidin, menggesa Noorazli membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada seluruh masyarakat Kristian, khususnya penganut Katolik.
Beliau berkata, perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempermainkan agama atau mempersendakan kitab suci dan tokoh agama.
Katanya, semua pemimpin politik perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ketika menyampaikan ucapan, terutama dalam perkara yang menyentuh isu agama serta sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Jolyhame dan Zanik berkata, mereka bersedia memberikan kerjasama serta keterangan lanjut kepada PDRM sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan.
Menurut mereka, laporan itu dibuat dengan niat baik demi mempertahankan keharmonian antara agama serta memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.















Comments