Isu 3R perkara serius, Pemuda UPKO Penampang dan Labuan buat laporan polis
nabalunews
8 minutes ago
2 min read

15 Sept 2026
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UPKO Penampang dan Labuan tampil membuat laporan polis berhubung ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini yang menyinggung penganut agama Kristian.
Ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang yang menjadikan paderi dan biarawati Katolik sebagai bahan jenaka berunsur seksual serta mengaitkannya dengan Psalm 129 itu didakwa tidak seharusnya dibuat khususnya dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menyinggung perasaan masyarakat Kristian, khususnya penganut Katolik.
“Ucapan yang menyentuh perkara berkaitan agama perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab kerana ia melibatkan sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh serta menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan di sisi undang-undang.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang kesalahan,” katanya.
Billy Joe berkata, kebebasan bersuara merupakan hak yang perlu dihormati, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab serta mengambil kira sensitiviti agama dan kepercayaan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pemuda UPKO Labuan, Mohd Hady Rawvie Jahili berkata, sebarang kenyataan berkaitan isu 3R, iaitu kaum (Race), agama (Religion) dan institusi diraja (Royalty), perlu ditangani secara bertanggungjawab, berhemah serta menghormati sensitiviti masyarakat majmuk.
Katanya, tindakan membuat laporan polis berkenaan bukan bertujuan untuk menghukum, menghina atau mencetuskan permusuhan terhadap mana-mana individu atau kelompok.
“Sebaliknya, laporan polis ini dibuat melalui saluran undang-undang yang sah bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan penelitian dan siasatan secara profesional serta menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang.
“Isu 3R bukan tanggungjawab mana-mana kaum atau agama tertentu sahaja, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, budaya atau fahaman politik,” katanya.
Menurutnya, setiap pemimpin dan tokoh masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kenyataan yang dibuat tidak menimbulkan salah faham, keresahan atau rasa tersinggung dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO Labuan, Calista Nadia Lusin turut bersetuju dengan pandangan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan sensitiviti agama dan keharmonian masyarakat.
Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyiasat secara adil, telus dan profesional berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.















Comments