top of page

Agama bukan bahan lawak politik – Generasi Muda UPKO

nabalunews
50 minutes ago
2 min read

15 Sept 2026


KOTA KINABALU: Pergerakan Generasi Muda UPKO Malaysia menegaskan, agama tidak seharusnya dijadikan bahan lawak politik atau diperalatkan untuk meraih sokongan.


Pendirian itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Ketua Generasi Muda UPKO Malaysia, Emmanuel Atin; Timbalan Ketua, Allison Chan; Naib Ketua III, Wilson Chieu; Ketua Penerangan, Chin Guan Rong dan Bendahari, Joid Philip Lasimbang.


Mereka berkata, pihaknya memandang serius gurauan berunsur agama oleh Bendahari UMNO Selangor, Noorazli Said, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang menyentuh golongan paderi dan biarawati Katolik.


“Generasi Muda UPKO menolak sebarang tindakan mempolitikkan agama sehingga mengabaikan sensitiviti serta kesucian kepercayaan masyarakat.


“Perhimpunan agung parti merupakan platform kepimpinan dan pentas politik yang penting. Ia bukan ruang untuk memecahbelahkan rakyat berbilang agama demi hiburan semata-mata,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.


Mereka berkata, perkara tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai contoh kepimpinan yang dipertontonkan kepada rakyat, khususnya generasi muda.


Katanya, sesuatu yang dianggap sebagai gurauan atau sindiran oleh seseorang mungkin memberikan kesan berbeza kepada mereka yang menghayati dan menjunjung kesucian agama berkenaan.


“Kesucian agama tidak wajar dijadikan bahan jenaka yang boleh menimbulkan rasa tersinggung atau salah faham dalam kalangan masyarakat,” kata mereka.


Sehubungan itu, Generasi Muda UPKO menyeru semua pihak, terutama mereka yang mempunyai pengaruh dalam arena politik dan masyarakat, supaya menggunakan bahasa berhemah serta mengutamakan rasa hormat dan tanggungjawab apabila menyentuh perkara berkaitan agama.


Mereka menegaskan bahawa agama bukan bahan lawak politik, alat untuk meraih sokongan atau instrumen untuk merendahkan kepercayaan komuniti lain.


“Pemimpin sepatutnya menunjukkan contoh bagaimana perbezaan boleh diraikan secara matang, bukannya memberikan gambaran bahawa penghinaan atau gurauan terhadap kepercayaan orang lain boleh diterima atas nama politik,” kata mereka.


Menurut kenyataan itu, sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, setiap pemimpin harus menjaga tutur kata serta menghormati sensitiviti rakyat.


Generasi Muda UPKO akan terus mendukung budaya politik matang yang menghormati kepelbagaian agama dan bangsa demi membina masyarakat yang lebih harmoni.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page