Itali sasar kerjasama pendidikan tinggi, pelancongan dan kesihatan awam
- nabalunews
- Apr 28
- 1 min read

28 April 2026
KOTA KINABALU: Itali berhasrat memperkukuh hubungan dua hala dengan Sabah menerusi penerokaan peluang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan tinggi dan kesihatan awam.
Duta Itali ke Malaysia, Raffaele Langella berkata Sabah kini semakin dikenali di Itali sebagai destinasi pelancongan utama, selain mempunyai tarikan budaya serta potensi industri yang signifikan.
Menurut beliau, Itali berminat untuk meneroka kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi serta sektor pelancongan selain potensi pelaburan dalam bidang kesihatan awam.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Isnin.
Langella menjelaskan kunjungan tersebut bertujuan membincangkan potensi kerjasama berkenaan seterusnya membentuk kerjasama yang lebih konkrit antara kedua-dua pihak.
Beliau turut menyatakan harapan agar lawatan itu dapat membuka ruang kepada lebih banyak pertemuan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan diplomatik antara Sabah dan Itali.
Selain itu, beliau menyatakan komitmen untuk kembali ke Kota Kinabalu dengan lebih kerap bagi memastikan setiap peluang kerjasama yang dikenal pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan bersama.















Comments