Jabatan Peguam Negara nafi kenyataan Majlis Peguam Negara
top of page
  • nabalunews

Jabatan Peguam Negara nafi kenyataan Majlis Peguam Negara


8 Sept 2023


Jabatan Peguam Negara (“Jabatan ini”) merujuk kepada Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam Malaysia bertarikh 7 September 2023 (“Kenyataan Majlis Peguam”) yang antara lainnya menyatakan bahawa Jabatan ini kononnya telah dengan sendirinya mencemarkan reputasi dan kredibilitinya. Dalam hal ini, Jabatan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut berdasarkan alasan-alasan yang diberikan disini.


Jabatan ini tidak pernah menggunakan perkataan “menarik balik” atau “withdraw” dalam kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan Majlis Peguam tersebut.



Budi Bicara Peguam Negara


Kenyataan tersebut sendiri telah merujuk kepada Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan budi bicara yang penuh kepada Peguam Negara untuk, antara lainnya, memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.


Kenyataan tersebut turut merujuk kepada subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah yang jelas memperuntukkan seperti yang berikut:


“(1) Dalam mana-mana juga peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan Pendakwa Raya, jika berpendapat patut, bolehlah memberitahu Mahkamah yang dia tidak akan mendakwa tertuduh itu selanjutnya terhadap pertuduhan itu dan semua prosiding pertuduhan terhadap tertuduh hendaklah diberhentikan dan tertuduh hendaklah dibebaskan daripada pertuduhan itu.”


Sebagaimana yang telah ditekankandi atas, Peguam Negara boleh memberhentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh Mahkamah dan ini termasuk juga di peringkat selepas kes primafacie telah dibuktikan. Penting juga untuk dinyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama sesuatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan.


Jabatan ini menegaskan bahawa sebarang budi bicara yang dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya apatah lagi akibat daripada campur tangan oleh mana-mana pihak tetapi, semata-mata setelah Peguam Negara mengambil kira keadilan kepada semua pihak dan demi pentadbiran keadilan (administration of justice).



Alasan-Alasan Pemberhentian Pertuduhan


Berikutan daripada perkara di atas, Jabatan ini juga menegaskan bahawa Peguam Negara serta Jabatan ini sendiri adalah pihak yang mempunyai kedudukan paling baik (in the best position) dalam membuat keputusan sama ada sesuatu pertuduhan tersebut seharusnya diteruskan atau tidak berdasarkan kepada pelbagai faktor, antara lainnya, laporan-laporan daripada pihak penyiasatan serta representasi-representasi yang dikemukakan.


Dalam kes berkaitan, keputusan Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara beliau di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali dibuat tanpa sebarang asas. Sebaliknya, Jabatan ini telah pun mengemukakan 11 alasan kepada Mahkamah. Malah, kesemua 11 alasan berkenaan telah pun dilaporkan di akhbar-akhbar harian yang boleh diakses dan dibaca oleh umum.


Berikut dinyatakan sekali lagi 11 alasan pemberhentian pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan, iaitu:


Pihak pembelaan memanggil 15 saksi termasuklah tertuduh sendiri, kami (pendakwaan) berpendapat bahawa keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan juga pihak penyiasat.


Ahmad Zahid mengemukakan dua Surat Representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), masing-masing bertarikh pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023.


Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Januari 2023, memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat.


Ahmad Zahid sekali lagi pada 28 Februari 2023 dan 7 Mac 2023 mengemukakan empat lagi Surat Representasi yang membangkitkan isu dan bukti baharu yang sudah semestinya memerlukan SPRM menyiasat perkara ini.


Surat Representasi Ahmad Zahid turut menyentuh isu berkenaan siasatan terhadap tertuduh sebelum, semasa dan selepas dituduh di mahkamah yang dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.


Perkara ini sudah semestinya menyebabkan reputasi dan nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini adalah institusi undang-undang yang diperalatkan oleh pihak tertentu.


Untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku (no miscarriage of justice), kami percaya bahawa semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan DNAA kepada beliau sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai.


Pendakwaan percaya bahawa Mahkamah yang Mulia ini ambil maklum berkenaan pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan yang dibuat berkaitan pertuduhan yang dibuat terhadap individu tertentu.


Ahmad Zahid membangkitkan isu yang serius dalam surat representasi beliau iaitu berkenaan dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih (selective prosecution) daripada rejim Kerajaan sebelum ini. Peguam Negara berpendapat bahawa amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.


Ia adalah selaras dengan tujuan RCI yang antara lainnya bertujuan untuk menyiasat dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang jawatan tertinggi dalamnegara.


Satu memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan oleh AGC berkaitan kes yang sedang dibicarakan ini tular di media sosial, AGC sedang mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman itu dan berpendapat adalah penting kerana ia turut menyentuh secara langsung isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Zahid melalui representasi yang dikemukakan serta menguatkan lagi alasan untuk siasatan secara menyeluruh dijalankan AGC bagi kes membabitkan Ahmad Zahid.



Representasi


Berdasarkan kepada representasi-representasi yang dikemukakan, perkara ini menjadi tugas bagi seorang Peguam Negara untuk mempertimbangkan setiap alasan dan perincian yang diberikan oleh pihak tertuduh. Malah, Peguam Negara dan Jabatan ini juga dikehendaki (atas prinsip keadilan undang-undang) untuk turut bekerjasama dengan pihak penyiasatan berkenaan dengan setiap butiran yang dikemukakan oleh tertuduh melalui representasi-representasi yang diberikan.


Dalam erti kata lain, Peguam Negara serta Jabatan ini tidak boleh secara semberono menolak representasi-representasi yang dikemukakan oleh mana-mana tertuduh, sebaliknya, perlu meneliti setiap butiran yang diberikan demi menegakkan proses undang-undang. Perlu diingatkan juga bahawa tugasan Jabatan ini bukanlah untuk memastikan mana-mana tertuduh disabitkan melalui apa cara sekalipun (to convict a person at all costs). Sebaliknya, tugas hakiki Jabatan ini adalah untuk memastikan proses undang-undang ditegakkan sepenuhnya berlandaskan kata-kata yang dikenali sebagai Blackstone Ratio, “It is better that ten guilty persons escape than that one innocent suffer.”


Seterusnya, dimaklumkan bahawa representasi-representasi yang dikemukakan mempunyai terlalu banyak butiran dan setiap representasi mempunyai lebih daripada 200 muka surat, tidak termasuk dokumen-dokumen sokongan yang dilampirkan.


Oleh itu, sudah tentu Peguam Negara serta Jabatan ini perlu mengambil masa untuk meneliti setiap butiran dan dokumen yang disertakan dengan penuh hemah sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat termasuklah meneliti representasi-representasi yang dikemukakan dan dokumen-dokumen yang dilampirkan serta seterusnya, berhubung dengan pihak-pihak penyiasatan sebelum sebarang keputusan dan tindakan boleh diambil.


Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan tugas dan kewajipan beliau sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.


Oleh yang demikian, Jabatan ini berharap agar semua pihak dapat memberhentikan sebarang spekulasi apatah lagi menyebarkannya kerana Jabatan ini dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pihak penyiasatan masih sedang menyiasat kesemua bukti baharu yang timbul berkaitan dengan kes ini. Sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa semula tertuduh, mendakwa pihak-pihak lain yang berkaitan atau sebaliknya akan dibuat oleh Jabatan ini setelah siasatan yang lebih terperinci dan komprehensif selesai.



YM Dato’ Raja Rozela Raja Toran


Berkenaan dengan YM Dato’ Raja Rozela Raja Toran yang kononnya ditamatkan perkhidmatan, Jabatan ini menegaskan bahawa perkara ini telah dijelaskan sebelum ini melalui kenyataan media Jabatan ini bertarikh 5 Ogos 2023.


PEGUAM NEGARA


bottom of page