Jabatan Perhutanan Sabah pertahan gelaran juara perbarisan
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

31 Mac 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah sekali lagi mempertahankan kejuaraan apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah tahun ini.
Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan reputasi jabatan berkenaan sebagai antara kontinjen terbaik dalam kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.
Ketua pasukan, Arsiman Shah Durahman berkata kejayaan itu hasil disiplin tinggi serta semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang latihan kawad kaki.
“Kami bersyukur kerana berjaya mempertahankan kejuaraan dalam kategori ini dan seluruh pasukan amat gembira dengan pencapaian ini.
“Walaupun hanya menjalani latihan selama tiga hari melibatkan sesi pagi dan petang, kami tetap memberikan komitmen penuh. Usaha ini akan diteruskan bagi mengekalkan prestasi sebagai juara,” katanya kepada media, di sini pada Isnin.
Dalam kategori sama, Majlis Perbandaran Sandakan meraih tempat kedua, diikuti Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah di tempat ketiga.
Bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, johan dimenangi Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah), manakala tempat kedua disandang Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, diikuti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di tempat ketiga.
Sementara itu, Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Bajau Tabawan Sabah Sandakan (SABATA) muncul juara bagi kategori Pertubuhan Etnik Sabah, diikuti Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan sebagai naib johan dan Pertubuhan Adat Gabungan Bangsa Tidung Negeri Sabah (PANTAS) di tempat ketiga.
Dalam kategori Swasta atau Badan Berkanun, Kumpulan Yayasan Sabah menjuarai pertandingan dengan markah keseluruhan 99 peratus, diikuti Sabah Electricity (98 peratus) dan DBKK Holdings Sdn Bhd (87 markah).
Bagi kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu muncul johan, diikuti Kawasan Rukun Tetangga Kota Kinabalu di tempat kedua serta Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sabah di tempat ketiga.
Pertandingan itu turut melibatkan kategori institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan dua penyertaan, menyaksikan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Sabah muncul johan, manakala Unitar Kota Kinabalu di tempat kedua.
Bagi kategori sekolah, Kadet Koreksional Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat Papar dan Sekolah Kebangsaan Pangiran Siti Hafsah Karambunai masing-masing menjuarai kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.
Pertandingan perbarisan itu diadili panel yang diketuai Pegawai Waran I PAP (G1) Tentera Laut Diraja Malaysia, Azro Mat Zaki, dibantu pengadil daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Semua pemenang tempat pertama bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta sijil dan piala.
Tempat kedua pula menerima RM1,300 manakala tempat ketiga RM1,000, masing-masing turut menerima sijil dan piala yang disampaikan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.















Comments