Jadikan Laporan Suruhanjaya Cobbold, IGC Report dan Perjanjian Malaysia 1963 buku wajib di semua perpustakaan sekolah – Ewon
- nabalunews
- 43 minutes ago
- 2 min read

27 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya dokumen-dokumen utama pembentukan negara seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee, IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naskhah buku wajib di semua perpustakaan sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata, cadangan itu selari dengan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong yang menggesa rakyat kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, iaitu perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Atas Titah Diraja ini, Penampang mencadangkan agar silibus mata Pelajaran Sejarah dan Pengajian Am di sekolah dipinda bagi memasukkan lebih banyak kandungan berkaitan penubuhan negara Malaysia yang berasaskan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dengan syarat-syarat yang telah dipersetujukan untuk Sabah dan Sarawak.
“Ini termasuk menjadikan dokumen-dokumen seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Inter-Governmental Committee (IGC) dan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai naskah buku yang wajib ada di semua perpustakaan sekolah di seluruh negara supaya para pelajar dapat mengetahui dokumen-dokumen perlembagaan
negara ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi persidangan Parlimen di sini, hari ini.
Ewon berkata, pendedahan awal kepada dokumen-dokumen bersejarah itu diyakini dapat memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan kerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia apabila dewasa kelak, khususnya mereka yang bakal menyertai perkhidmatan awam.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap usaha yang telah dilaksanakan bagi memastikan Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan mengikut semangat asal, termasuk penyelesaian 13 perkara setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, terdapat dua perkara besar yang perlu dilaksanakan semula, iaitu Perkara 112C berkaitan hak 40 peratus Sabah serta penetapan kerusi Dewan Rakyat tidak kurang daripada satu pertiga untuk Sabah dan Sarawak.
Mengenai pendidikan, Ewon menyatakan sokongan penuh terhadap Titah Diraja berhubung Bahasa Melayu sebagai asas sistem pendidikan negara.
Dalam masa yang sama, beliau berpendapat silibus bahasa-bahasa ibunda juga perlu diperkenalkan di sekolah-sekolah, khususnya apabila mendapat permintaan daripada ibu bapa setempat.
Beliau turut bertanya status pengembangan silibus bahasa ibunda seperti Kadazandusun, termasuk bahasa Kadazan Tangaa, Tatana, Murut Timogun dan Dusun Lotud, serta bahasa Orang Asli, di samping tahap pengiktirafan dan kesediaan Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan cadangan tersebut.














