Jalan alternatif sementara di KM4.30 Jalan Sayap perlu dipasang culvert
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jalan alternatif sementara di KM4.30 Jalan Sayap perlu dipasang culvert



15 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pengguna jalan Nahaba-Talungan-Terintidon-Sayap meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang culvert di jalan alternatif sementara bagi membolehkan kenderaan rendah melalui jalan itu.


Seorang penduduk Kg.Sayap Dr.Rizoh Bosorong berkata, ini perlu memandangkan kerja-kerja membina semula jambatan yang runtuh di kawasan itu mengambil masa yang agak lama.


Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya pihak konsesi memasang culvert, sekurang-kurangnya 5 hingga 6 kaki besar sebagai laluan air berbanding keadaan ketika ini.


“Ini memudahkan kenderaan rendah boleh melalui jalan alternatif tanpa mengalami risiko kerosakan akibat kenderaan terendam air atau bergeser dengan batu dasar sungai,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Bagaimanapun beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak JKR atas tindakan pantas membina jalan alternatif sementara itu.

“Kalau cuaca cerah, jalan alternatif tersebut masih boleh dlalui oleh semua kenderaan, namun agak berbahaya kerana kereta yang rendah berisiko mengalami kerosakan.


“Jalan alternatif sementara tersebut telah dibuat pada Jumaat dan sentiasa dibaiki. Namun, jalan tersebut tidak dapat dilalui sekiranya hujan lebat dan air sungai deras,” katanya.


Jambatan merentasi Sungai Wariu di kawasan itu runtuh pada Khamis lalu ekoran hujan lebat.


Sebaik menerima laporan daripada penduduk kampung pada hari berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick telah menghubungi Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Bung Mokhtar Radin dan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk memaklumkan perkara itu.


Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada JKR atas tindakan pantas membina jalan alternatif sementara.


Jalan itu merupakan jalan perhubungan utama penduduk lima kampung iaitu Kampung Nahaba, Kg.Talungan, Kg.Terintidon, Kg.Tegudon, dan Kg.Sayap serta dua sekolah rendah dan sebuah Klinik Desa.

bottom of page