top of page

Jalan balak di Nabawan disyorkan untuk dinaiktaraf - Ghani

  • nabalunews
  • Nov 3, 2024
  • 1 min read



3 November 2024


NABAWAN: Jalan-jalan balak di daerah Nabawan telah disyorkan kepada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) agar dapat diselenggara dan dinaiktaraf bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata beliau telah berulang kali menyuarakan keperluan ini kepada kerajaan negeri dalam usaha memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih baik bagi penduduk Nabawan.


“Saya juga telah membawa perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah,” kata beliau.


Menurut Ghani, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), cadangan ini adalah sebagai respons kepada keluhan penduduk Kampung Ponontomon yang dikemukakan semasa Majlis Santai Bersama Rakyat di Kampung Panarakan Ponontomon pada Sabtu lalu.


Penduduk kampung berkenaan menyuarakan harapan agar jalan-jalan balak yang menghubungkan kampung mereka dinaiktaraf, kerana sudah lama mereka menghadapi kesukaran akibat jalan yang licin dan berlumpur ketika musim hujan, serta berdebu ketika musim kemarau.


Seorang penduduk, Ulou Kolou, turut menyuarakan keresahan ini semasa sesi dialog pada majlis tersebut, dan menekankan betapa perlunya tindakan segera untuk menambah baik keadaan jalan yang menyukarkan kehidupan harian mereka.


Dalam responnya, Ghani menegaskan bahawa beliau akan terus membawa isu ini kepada perhatian kerajaan negeri sehingga penyelesaian yang memuaskan dapat dicapai bagi kepentingan penduduk di kawasan itu.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan, Deckson Andipai, Ketua Daerah Nabawan, Ulin Datuk Pamiang, Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Nabawan, Jabat Majilon, serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Nabawan.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page