Banyak jalan kampung, jalan utama ke sekolah di Sabah perlu dinaiktaraf: Madius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Banyak jalan kampung, jalan utama ke sekolah di Sabah perlu dinaiktaraf: Madius



2 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau berkata, banyak jalan utama kampung menuju ke Sekolah di Sabah termasuk di kawasan Tuaran dalam keadaan teruk dan perlu dinaiktaraf.


Beliau berkata, ini untuk memberi keselesaan kepada penduduk kampung dan semua guru-guru serta pelajar yang menggunakan jalan itu setiap hari.


“Adakah kementerian persekutuan dan negeri bekerjasama untuk memastikan kesemua jalan menuju ke sekolah itu dapat dinaiktaraf bagi memberi keselesaan kepada semua pelajar dan guru.


“Saya juga ingin bertanya sama ada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempunyai pangkalan data tentang jalan-jalan menuju ke sekolah dan adakah ia menjadi dasar kerajaan untuk memastikan semua jalan menuju ke sekolah akan menjadi keutamaan untuk dinaiktaraf.


“Selaku menteri dahulu, saya telah menyatakan jalan-jalan di kawasan Tuaran yang perlu dinaiktaraf dan persetujuan telah diberikan antaranya Jalan Hamad-Kitapol dan Jalan Togop, sudah diluluskan, kalau tidak ada rekod di kementerian maknanya ada sesuatu yang tidak betul,” katanya dalam soalan tambahan semasa persidangan dewan rakyat, hari ini.


Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan bila Jalan Sinulihan-Pahu, Jalan Kotunuan-Wasai, Jalan Tinuhan-Wangkod, Jalan Tomboloung, Jalan Hamad-Kitapol, Jalan Tomboilik-Tiong Koburon dan Jalan Rungus-Gayoratau di kawasan Parlimen Tuaran akan dinaiktaraf kepda Jalan Aspal.


Bagi menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, kementeriannya akan membina jalan perhubungan desa.


Katanya, pada masa yang sama pejabat KPLB Sabah diminta turun padang mengadakan siasatan tapak bagi menyediakan anggaran peruntukan khususnya jalan utama kampung dan Sekolah.


“Melalui semakan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sabah, sebahagian daripada jalan ini sudah ada dalam perancangan JKR dan bukan KPLB untuk dibina jalan luar bandar.


“Bagaimanapun pembinaan jalan ini akan dirujuk kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah sebagai dijadikan keutamaan dalam Rolling Plan akan datang,” katanya.


Hasbi turut mengakui, kesemua jalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran berdekatan dengan sekolah dan mempunyai 32 buah kampung.


“Saya meminta kepada YB (Madius) untuk mengemukakan permohonan kepada UPEN Sabah untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri sebelum diangkat kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri bagi kelulusan di bawah Rolling Plan berikutnya. Ini adalah dalam jangka masa panjang.


“Tapi di peringkat kementerian, mungkin kita akan melihat sendiri bagaimana cara jangka pendek untuk membantu, sementara menenggu kelulusan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page