Jalan Rosak Di Labuk, Beluran Perlu Tindakan Segera
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

4 April 2026
BELURAN: Keadaan jalan raya yang rosak teruk sepanjang kira-kira 25 kilometer dari simpang Beluran hingga ke pekan utama di kawasan Labuk menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penduduk setempat.
Ketua CLC Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Labuk, Norfadzlina Ramsah berkata, keadaan jalan yang berlubang, tidak rata serta kurang penyelenggaraan bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah membahayakan keselamatan penduduk yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
Katanya, laluan berkenaan merupakan nadi utama perhubungan bagi penduduk setempat untuk ke tempat kerja, sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan serta menjalankan aktiviti ekonomi.

“Namun, keadaan jalan yang daif menyebabkan perjalanan menjadi lebih lama, selain meningkatkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam dan ketika hujan.
“Selain itu, pengguna jalan raya juga terpaksa menanggung kos tambahan akibat kerosakan kenderaan seperti tayar pecah, rim bengkok serta kerosakan sistem suspensi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, situasi itu bukan sahaja membebankan penduduk tempatan, malah turut memberi kesan kepada pelawat luar daerah yang melalui laluan tersebut.

Katanya, isu berkenaan turut terserlah semasa penganjuran acara Rentas Desa sekolah-sekolah peringkat negeri Sabah baru-baru ini apabila Beluran menjadi tuan rumah.
“Ramai peserta dan pengunjung luar terpaksa berdepan dengan keadaan jalan yang sama, malah video yang dikongsikan di media sosial jelas menunjukkan keadaan jalan yang menyedihkan,” katanya.
Menurutnya, keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap imej daerah Beluran sebagai tuan rumah acara peringkat negeri serta berpotensi menjejaskan reputasi kawasan tersebut.

Sementara itu, Norfadzlina Ramsah berkata, keadaan infrastruktur jalan yang tidak memuaskan turut menjadi antara kekangan utama dalam usaha membangunkan potensi pelancongan di kawasan Labuk dan sekitarnya.
“Walaupun kawasan ini mempunyai potensi sebagai destinasi pelancongan, akses jalan yang teruk boleh menjejaskan keyakinan pelancong dan pelabur, sekali gus membantutkan pembangunan ekonomi setempat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera dan proaktif bagi menaik taraf serta menyelenggara jalan berkenaan secara menyeluruh.
“Tindakan segera amat diperlukan demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk, di samping membuka peluang pembangunan ekonomi termasuk dalam sektor pelancongan di kawasan Beluran, khususnya di Labuk,” katanya.















Comments