Jalan Simpang Beluran–Pekan Beluran perlu dinaik taraf segera – ADUN Labuk
- nabalunews
- Apr 3
- 1 min read

3 April 2026
BELURAN: Kementerian Kerja Raya negeri dan Persekutuan digesa supaya menyegerakan usaha menaik taraf jalan dari simpang Beluran ke Pekan Beluran bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Datuk Samad Jambri berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada masyarakat berhubung keadaan jalan tersebut yang kini tidak selesa dilalui dan berisiko kepada pengguna.
“Jalan ke Pekan Beluran merupakan antara laluan utama ketika ini, namun keadaannya sangat tidak selesa untuk dilalui dan sering menjadi keluhan pengguna.
“Sudah tiba masanya Kementerian Kerja Raya, sama ada melalui Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah atau Jabatan Kerja Raya Persekutuan, mengambil perhatian serius terhadap keperluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Peringkat Negeri Sabah, di sini pada Rabu.
Menurut Samad, sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau turut terkesan dengan keadaan jalan yang disifatkan sebagai kritikal dan memerlukan tindakan segera.
“Keadaan jalan ini sangat kritikal dan memerlukan sama ada pembaikan atau penaiktarafan kerana telah mengalami kerosakan teruk.
"Jadi, saya melihat perlu diambil tindakan yang secepatnya kerana kita mengambil kira tentang keselesaan pengguna," ujarnya.
Jalan sepanjang 27.22 kilometer itu merupakan jalan negeri yang menghubungkan Lebuhraya Pan Borneo ke Pekan Beluran, namun kini berada dalam keadaan rosak teruk sehingga memerlukan pemandu sangat berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.















Comments