Jalan utama Tuaran - Tamparuli – Ranau perlu diselenggara
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jalan utama Tuaran - Tamparuli – Ranau perlu diselenggara


Keadaan jalan raya yang perlu diberi perhatian kerajaan.

23 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah meminta Kementerian Kerja Raya Persekutuan dan Negeri memberi perhatian dan menyelenggara jalan raya daripada Tuaran - Tamparuli ke Ranau.


Timbalan Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Thonny Chee berkata, ini kerana jalan raya itu merupakan laluan utama rakyat dan pelancong dari dalam dan luar negara ke Kundasang serta kawasan pantai timur.


Katanya, semasa lawatan ke Kundasang dan Ranau pada Sabtu lepas, beliau mendapati keadaan jalanraya semakin teruk dan ada kawasan-kawasan kritikal dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan.

“Jalan raya di kawasan itu perlu diselenggara sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.


“Kami tidak mahu masalah jalanraya ini akan menjejaskan usaha Kerajaan Negeri merealisasikan Teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan fokus utama termasuk sektor pelancongan dengan disokong oleh jaringan infrastruktur asas seperti jalanraya yang diselenggara dengan baik.


“Kami menggesa Kerajaan Pusat menambah peruntukan Penyelenggaraan Jalanraya Persekutuan di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada laluan-laluan utama terutama bahagian-bahagian kritikal yang perlu perhatian segera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Timbalan Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Thonny Chee

Thonny berkata, selain itu beliau turut mengingatkan Kerajaan Negeri khususnya Kementerian Kerja Raya bahawa status jalanraya negeri sepanjang 22370.95km hanya lebih kurang 48 peratus yang berturap.


“Jalanraya luar bandar sepanjang 2673.11 km masih lagi 34 peratus jalan kelikir dan 11 peratus jalan tanah.


“Oleh itu, pihak kami menggesa agar isu jalanraya negeri ditangani sebaik mungkin dalam merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya yang telah mengenalpasti pemetaan tumpuan Jaringan Infrastruktur berdasarkan Nod dan Hotspot yang bakal menjadi pemacu kawasan ekonomi negeri ini,” katanya.


Beliau turut meminta Ahli Parlimen Ranau dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu menyuarakan isu penyelenggaraan jalan utama kawasan Ranau pada persidangan Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Mesyuarat Kabinet untuk tindakan segera.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page