top of page
  • nabalunews

Jalanraya Sepulut-Pekan Pegalungan siap 60 peratus

4 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Projek menaiktaraf jalan Sepulut ke Pekan Pagalungan dengan anggaran kos RM380 juta yang kini sudah lebih 60 peratus siap akan memberi manfaat dan impak yang besar kepada penduduk kampung di sekitar daerah kecil Pagalungan.


Ketua Daerah Kecil Pagalungan, Philip Antugi berkata, penduduk daerah kecil ini bakal menerima limpahan pembangunan dan pertumbuhan sosio ekonomi apabila ia siap kelak.


Katanya, banyak manfaat yang akan diperolehi masyarakat di kawasan ini apabila jalan raya ini siap.


Ini katanya, kerana jalan perhubungan yang baik adalah nadi utama kepada semua sektor pembangunan dan pertumbuhan ekonomi setempat.


"Apabila kerja pengaspalan jalan raya ini siap, sudah tentu ia akan menyumbang kepada sektor pembangunan pertanian dan kegiatan ekonomi yang lain seperti perniagaan, peruncitan dan sebagainya" katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Selain itu katanya, ia juga turut menyumbang kepada sektor pelancongan di kawasan ini yang bakal menerima limpahan pembangunan berikutan pemindahan ibu kota negara jiran Indonesia ke Nusantara.


Katanya, ia turut memberi peluang kepada penduduk untuk mengusahakan perniagaan rumah inap desa atau homestay sebagai sumber pendapatan dalam sektor pelancongan.


Philip yakin sebaik sahaja jalan raya Sepulut - Pagalungan ini siap kelak, ia pasti akan merancakkan lagi pembangunan dan menjana pendapatan kepada penduduk kampung.


"Sebelum ini daerah kecil Pagalungan terputus hubungan dengan daerah-daerah lain di negeri ini kerana jaringan jalanraya yang kurang memuaskan kerana laluannya yang masih

menggunakan bekas jalan balak yang sering terputus" jelasnya.


Tetapi katanya, jika jalan raya ini siap kelak ia boleh menghubungkan Daerah Kecil Pagalungan ke daerah-daerah lain di samping memendekkan masa perjalanan.


"Bagi jangka panjang katanya, jalan raya Pagalungan - ke negara jiran Indonesia di Kalimantan juga akan dibina melalui Kampung Bantul yang bakal menjadi kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS)" tambahnya.

Comments


bottom of page