Jambatan ke tanah perkuburan Kg Tolus perlu dinaik taraf
5 November 2024
KOTA BELUD: Jambatan sedia ada yang menjadi laluan penduduk ke tanah perkuburan di Kampung Tolus, Kadamaian, diperbuat daripada batang buluh dan disifatkan sudah kurang sesuai kerana sering kali hanyut dibawa arus apabila berlaku banjir.
Situasi ini menyukarkan penduduk kampung, terutamanya ketika musim hujan yang mengakibatkan peningkatan paras air.
Sebagai penyelesaian, penduduk mencadangkan pembinaan jambatan konkrit dengan lebar 1.2 meter dan panjang 30 meter bagi menggantikan jambatan sedia ada.
Cadangan ini diharapkan dapat menyediakan laluan yang lebih selamat dan kukuh, serta meningkatkan kemudahan akses ke tanah perkuburan kampung tersebut, terutama pada waktu-waktu kecemasan dan musim tengkujuh.
Prihatin dengan keperluan penduduk, Pegawai Pembangunan Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N11 Kadamaian, Juin Kolod dan Pegawai Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, Jolyhame Saran yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick telah ke kampung berkenaan hari ini untuk mendengar aduan penduduk serta cadangan untuk menaik taraf jambatan.
Aduan serta cadangan penduduk mengenai jambatan ini akan dibawa ke pengetahuan pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya di masa terdekat.
Comments