Jambatan pejalan kaki di Likas tidak selamat bakal diroboh
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

10 November 2025
KOTA KINABALU: Jambatan pejalan kaki di Likas berhampiran SM All Saints akan dirobohkan dalam masa terdekat berikutan struktur binaannya yang uzur dan tidak lagi selamat digunakan.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pemeriksaan mendapati jambatan berkenaan menimbulkan risiko keselamatan serius khususnya kepada pelajar sekolah dan pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Tuaran Likas setiap hari.
Beliau membuat tinjauan ke lokasi itu pada Isnin bersama pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan wakil projek LikasVue bagi membincangkan langkah keselamatan dan rancangan pembangunan semula di kawasan itu.
“Ketua Pengarah DBKK Datuk Lifred Wong menjelaskan bahawa seiring dengan kemajuan projek LikasVue, DBKK dan JKR telah mencapai persetujuan dengan pihak pemaju.
“Kontraktor akan menaik taraf jalan berdekatan, melebarkan satu lorong, merobohkan jambatan pejalan kaki, serta memasang sistem lampu isyarat di persimpangan tersebut untuk memudahkan pejalan kaki melintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Phoong, langkah itu dijangka dapat menyelesaikan isu keselamatan di kawasan berkenaan seawal awal tahun depan.
Katanya, beliau akan terus membuat susulan lanjut dalam memastikan perancangan kemudahan awam di kawasan setempat dapat dipertingkatkan demi keselamatan serta keselesaan masyarakat.


















Comments