JAN laksana KAM, SAM di Tuaran
- nabalunews
- May 12
- 1 min read

12 Mei 2025
TUARAN: Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan inisiatif Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) dalam usaha memperkukuh peranannya dalam pembangunan komuniti.
Program itu akan dilaksanakan di Kampung Topokon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Topokon, Tuaran.
JAN dalam satu kenyataan memaklumkan, program KAM merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi Ucapan Belanjawan 2024 yang bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara bandar dan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penduduk setempat.
Menurut JAN, kerajaan memperluas program itu kepada 200 kampung seluruh negara tahun ini susulan kejayaan pelaksanaannya pada tahun 2024.
"Kampung Topokon telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan oleh JAN dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
"Sebagai pelengkap, program SAM turut dilaksanakan di SK Topokon dengan peruntukan RM100,000 memandangkan sekolah ini terletak dalam kawasan yang sama.
"Usaha ini selaras dengan pendekatan Whole-of-Government yang menekankan kerjasama merentas agensi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cepat serta berkesan kepada rakyat," menurut kenyataan itu.
Katanya, empat skop utama di bawah KAM merangkumi penaiktarafan dewan serbaguna, pembinaan gelanggang futsal dan bola keranjang terbuka, penambahbaikan fasiliti sekolah dan pelaksanaan program kemasyarakatan.
Manakala program SAM pula, katanya melibatkan pelaksanaan skop projek menaik taraf kantin sekolah.
Terdahulu, mesyuarat penyelarasan program telah dipengerusikan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Wisma Audit Sabah, melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Mesyuarat turut menyentuh kerjasama antara JAN dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam menjayakan kedua-dua program KAM dan SAM.
Dalam mesyuarat itu, Wan Suraya turut menyampaikan surat pelantikan kepada jabatan dan agensi terlibat serta menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada pihak SK Topokon.
Comentarios