Jangan bermain politik, fokus pada kemajuan rakyat dan negara – Hajiji
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jangan bermain politik, fokus pada kemajuan rakyat dan negara – Hajiji


24 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya tahu bermain politik demi kepentingan sendiri akan merugikan rakyat dan negara.

 

Jelas beliau, kerajaan negeri tidak akan terlibat dalam permainan yang tidak bertanggunjawab tersebut.

 

Tambah beliau, kerajaan negeri hanya mahu fokus pada merealisasikan dan memenuhi aspirasi rakyat yang menginginkan kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan hidup.

 

"Sekarang ini adalah masanya untuk bekerja, berkhidmat dan berbakti bagi memenuhi aspirasi rakyat. Kerajaan negeri juga akan sentiasa bersama-sama pimpinan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuang serta membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena lawatan rasmi kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor ke Sabah yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, berkata kerajaan perpaduan yang ada ketika ini berfungsi dengan baik dan berkesan, dan perlu didukung sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kesinambungan pembangunan ekonomi negara.

 

Beliau juga menegaskan bahawa Sabah tetap komited untuk terus menyokong kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menolak sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat pentadbiran negara ketika ini.

 

"Pendirian ini kita tegaskan lagi setelah mendengar desas-desus wujudnya Langkah Dubai, konon untuk menukar Kerajaan Persekutuan. Kita terus bekerja untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat sehingga penggal kerajaan (negeri Sabah) sekarang berakhir pada September 2025," katanya.

bottom of page