Jangan biar rakyat jadi mangsa kepentingan politik - Ahmad Zahid
top of page
  • nabalunews

Jangan biar rakyat jadi mangsa kepentingan politik - Ahmad Zahid


8 Januari 2024


KOTA BELUD: Pemimpin-pemimpin di negara ini diingatkan tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa atau mempertaruhkan 'harga mahal' bagi mencapai kepentingan politik kelompok tertentu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata, perbezaan pendapat atau pegangan dalam politik tidak menjadi masalah di negara ini yang mengamalkan sikap terbuka, namun keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan rakyat terlebih dahulu.


Justeru, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha keras dalam memastikan politik negara dipertahankan dan kekal stabil yang mampu membawa pembangunan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan seterusnya kesejahteraan kepada rakyat.


"Alangkah baiknya politik negara sentiasa dalam keadaan damai. Pemimpin politik harus pegang janji setelah sesuatu perkara dipersetujui, harus ada kesepakatan, pegang janji dan persetujuan diperoleh. Jangan jadikan untuk kepentingan kelompoknya, yang seterusnya rakyat pula menjadi mangsa dalam politik.


"Jadikan Sabah ini sebagai contoh untuk kita menyantuni perbezaan dalam kepelbagaian. Kerjasama seperti di Sabah harus dijalankan (jadikan contoh) dan diperkukuhkan demi membawa kesejahteraan kepada rakyat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian, di sini, hari ini.


Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, projek tambah baik infrastruktur jalan raya di Kadamaian yang dilancarkan membabitkan peruntukan RM244 juta dilihat mampu menjadi 'game changer' dalam meningkatkan dan menambah baik tahap kehidupan rakyat di kawasan berkenaan.


Beliau turut mengumumkan pembinaan 40 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian.


"Saya juga maklum dengan permohonan tambahan Datuk Ewon Benedick yang lain untuk rakyat Kadamaian. Sepertimana komitmen saya hadir, saya akan pastikan peruntukan diperlukan dapat disediakan mengikut proses yang ditetapkan," katanya. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page