top of page

Jangan guna isu ‘murah’ untuk busukkan nama saya, sabotaj kempen saya: Fairuz

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 3 min read

ree

20 November 2025


KOTA BELUD: Calon bebas yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menegaskan, isu komisen 30 peratus yang dikaitkan dengan dirinya hanyalah isu ‘murah’ yang cuba membusukkan namanya.


Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab adalah helah jalan mudah untuk cuba membunuh imejnya.


“Ada pihak yang busuk hati, tiada modal kempen dan pilih isu ‘murah’ seperti ini. Mereka sudah kehabisan modal kempen pilihan raya kah atau memang tidak ada isu yang mahu difokuskan dalam kempen masing-masing, hingga perlu ‘kotorkan’ nama saya.


“Saya tidak usik sesiapa dan saya bertanding atas tiket bebas kerana kehendak saya, saya masih mahu teruskan apa yang sudah saya mulakan untuk rakyat Pintasan khasnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut Fairuz, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau adalah sebuah tuduhan tidak berasas dan palsu.


“Tuduhan yang mengatakan saya menggunakan kedudukan wakil rakyat sebagai perisai daripada siasatan dan pengawasan adalah tidak benar dan jelas palsu.


“Dakwaan ini sangat berat, busuk dan penuh dengan sentimen untuk memburukkan nama saya, apatah lagi selepas saya letak jawatan sebagai Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan.


“Tidak ada sebarang bukti rasmi pun berkenaan isu yang mereka bangkitkan di laman sosial media ini.


“Ini adalah onar yang dimainkan oleh pihak yang sememangnya berniat untuk menjatuhkan saya, merosakkan imej saya dan mengganggu psikologi para penyokong serta pasukan yang bersama saya, yang kini sedang bekerja keras untuk kempen pilihan raya kali ini," katanya lagi.


Jelas Fairuz, suasana kempen pilihan raya yang sihat adalah bukti kematangan politik dan jika ada pihak yang masih tidak mampu untuk merealisasikan budaya berpolitik secara sihat di musim kempen pilihan raya, maka itu adalah masalah dari pihak itu sendiri.


“Benar, masa ini adalah masa genting, semua masing-masing fokus kepada usaha kempen pilihan raya dan masing-masing mahu menang, menang di hati rakyat, menang dapat undi dari akar umbi di kawasan yang ditandingi dan menang kerusi sekaligus menjadi ADUN.


“Namun, untuk berkempen atau menyebarkan propaganda keji yang menjahanamkan imej pihak lawan, apatah lagi dengan berunsurkan fitnah, ini adalah perbuatan yang sangat tidak boleh diterima, inikah kematangan politik yang dilaungkan, inikah rasional pemikiran ahli politik dan pemimpin, apatah lagi pemimpin-pemimpin senior yang ‘berpengalaman’ dan ‘banyak makan garam’," katanya.


Sementara itu, Fairuz berkata, wang RM5,000 yang didakwa diterima daripada Albert Tei itu adalah wang sumbangan bakul makanan semasa musim Covid-19.


“Saya tidak ada masalah kalau dia mahu saya pulangkan wang tersebut.


“Semasa wang tersebut dimasukkan ke akaun Public Bank itu, ia dinyatakan sebagai sebuah sumbangan atau bantuan untuk bayaran bakul makanan yang merupakan bantuan yang kita beri kepada rakyat ketika itu," jelas Fairuz lagi.


Terdahulu, sejak beberapa hari lalu, tular di laman media sosial TikTok berkenaan sebuah hantaran yang dibuat kononnya Fairuz menerima habuan 30 peratus bagi setiap projek yang dilobi ahli perniagaan.


Penerimaan itu dikatakan berlaku sejak beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah dan sehingga menjadi Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah.


Hantaran yang dibuat itu juga menyatakan bahawa Fairuz turut terlibat dengan skandal Albert Tei yang mana beliau telah menerima sejumlah wang dengan nilai RM5,000 ke dalam akaun Public Bank miliknya.


Selain itu, hantaran di laman tersebut turut berkongsi, kononnya warga Pintasan mempersoal ketelusan Fairuz selepas Fairuz menerima wang rasuah daripada Albert Tei dengan jumlah tersebut, namun sumber dan identiti warga Pintasan itu tidak dinyatakan secara sahih.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page