Jangan luluskan lesen perniagaan kepada warga asing-Isnin
- nabalunews
- Aug 1, 2025
- 2 min read

1 Ogos 2025
TENOM: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya meluluskan lesen perniagaan atau penjajaan kepada warga asing.
Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Isnin Aliasnih, berkata langkah itu penting bagi melindungi peluang ekonomi rakyat tempatan, terutama golongan belia dan usahawan kecil yang semakin terhimpit dengan kehadiran warga asing dalam sektor tidak formal.
Katanya, PBT perlu memperketat proses kelulusan lesen termasuk melakukan semakan latar belakang, dokumen sah dan status pemilikan premis, bagi mengelakkan warga asing menyalahgunakan nama penduduk tempatan untuk berniaga.

“Saya tegaskan, jangan beri lesen kepada warga asing. Kita perlu utamakan rakyat sendiri, ini soal ekonomi anak tempatan yang perlu dibantu” katanya kepada media Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Tenom sesi 2025–2027 di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini pada Jumaat.
Menurutnya, terdapat laporan bahawa warga asing menggunakan 'proksi tempatan' untuk mendapatkan lesen, malah menguasai premis-premis strategik di beberapa pekan daerah-daerah di negeri ini.
"Situasi ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan ini jugalah tanggungjawab PBT" katanya.
Pada masa Isnin menyeru agar semua Ahli Majlis baharu memainkan peranan lebih tegas dalam membela kepentingan penduduk tempatan, serta memastikan sebarang aktiviti ekonomi yang dijalankan di bawah seliaan PBT mematuhi undang-undang.
Tegas beliau lagi, Kerajaan Negeri tidak berkompromi dalam soal kedaulatan ekonomi rakyat dan akan terus memperketat penguatkuasaan terhadap perniagaan yang dijalankan secara haram oleh warga asing di Sabah.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Datuk Rubin Balang, Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) Datuk Jamawi Jaafar, Pegawai Daerah Tenom Alexander Liew, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom Mumin Amsah, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.















Comments