Jangan panik, gusar gelombang kedua banjir - MetMalaysia
- nabalunews
- Dec 8, 2024
- 2 min read

8 Disember 2024
KUALA LUMPUR : Berdasarkan maklumat terkini, luruan monsun yang akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini adalah tidak sekuat berbanding sebelum ini.
Sehubungan itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan penduduk di negara ini supaya tidak terlalu panik dan gusar berhadapan gelombang banjir sekali lagi.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan maklumat terkini luruan monsun kali ini tidak sekuat yang sebelumnya dan hujan lebat diramal tidak sekuat seperti yang berlaku dalam episod terdahulu.
"MetMalaysia tidak menjangkakan luruan kali ini yang bawa hujan lebat akan jadi sangat lebat atau luar biasa daripada sebelum ini. Jadi rakyat tak perlu terlalu gusar. Cuma banjir mampu berlaku jika air bertakung," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sementara itu, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, sungai di beberapa negeri perlu dipantau untuk mengetahui sama ada ke paras bahaya.
Beliau berkata, berasaskan kepada maklumat banjir terkini, Sungai Muar, Johor dan Sungai Golok berada di paras bahaya, begitu juga Sungai Daro, Mukah di Sarawak juga berada di paras bahaya.
"Untuk hari ini kemas kini meramalkan angin luruan 32 kilometer (km) sejam dan hujan 6.7 milimiter (mm) dengan tiga HPA (Hourly Average Precipitation).
"Ramalan hujan lebat ialah pada 6 pagi 9 Disember 2024 berintensiti maksimum 40 mm 3HPA.
"Jika lebih dari 20 mm boleh kata lebat. Hujan lebat ini dijangka berterusan hingga 4 petang 10 Disember 2024.
"Sekiranya ramalan ini tepat, risiko banjir bukannya hanya berlaku di Kelantan tetapi akan melanda selatan Terengganu, Pahang dan Johor adalah tinggi. Baiknya ini tak terjadi masa air pasang besar. Jadi air sungai boleh ke laut," katanya.
Mengenai persoalan adakah ia seburuk yang berlaku dalam tempoh 27 hingga 30 November lalu, katanya, ia tidak dapat diketahui dengan tepat namun sudah pastinya perlu dipantau.
Comments