top of page

Jangan syok sendiri lengkapkan diri dengan Program Latihan Keusahawanan – Rowindy

  • nabalunews
  • Oct 27, 2024
  • 2 min read

27 Oktober 2024


SEMPORNA: Usahawan di Sabah disarankan untuk tidak leka dan aktif menyertai program latihan keusahawanan yang disediakan oleh kerajaan bagi memantapkan kemahiran dalam menguruskan perniagaan.


Ahli Lembaga Pengarah TEKUN Nasional, Rowindy Lawrence, berkata sejak tahun 2020, TEKUN Nasional bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menjalankan program e-usahawan yang bertujuan membantu para usahawan TEKUN, khususnya dalam meningkatkan kemahiran ekonomi digital yang semakin pesat berkembang dan tanpa sempadan.


“Penyertaan program e-usahawan dalam kalangan usahawan TEKUN bermula pada tahun 2020 dan dilaksanakan secara dalam talian. Sehingga 2021, seramai 280 usahawan telah menerima manfaat melalui program ini, secara dalam talian,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan majlis perasmian e-usahawan Modular TikTok untuk perniagaan hari ini di Semporna.

Tambah Rowindy, bermula tahun 2022, program e-usahawan telah ditambah baik dan dilaksanakan secara bersemuka di seluruh negara. Sebagai contoh, di Kuantan, Pahang, sesi 'mass class' yang melibatkan 145 usahawan telah dianjurkan untuk memberikan impak yang lebih besar.


Menurut beliau, pada tahun 2022, program e-usahawan asas dan modular turut dijalankan di Ipoh, Johor Bahru, dan Tawau, melibatkan seramai 406 usahawan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan usahawan yang telah menerima latihan melalui program e-usahawan mencecah 831 orang.


Bagi tahun 2024, program ini akan diteruskan dengan penambahan tujuh siri e-usahawan Modular TikTok untuk perniagaan yang mensasarkan penyertaan sebanyak 560 usahawan TEKUN.

“Namun, khusus untuk di Semporna, e-usahawan Modular TikTok ini adalah tambahan kerana permintaan yang sangat tinggi dari para usahawan setempat," jelas Rowindy.


Beliau turut mengingatkan bahawa masih ramai usahawan yang mengambil sikap sambil lewa dalam memperkasakan diri melalui latihan keusahawanan.


Salah satu aspek penting yang sering diabaikan adalah pengiraan kos yang tepat. Menurutnya, masih terdapat ramai usahawan yang tidak tahu mengira kos sebenar produk atau perkhidmatan mereka, yang boleh menyebabkan kerugian dalam jangka panjang.

“Jangan syok sendiri, rajin-rajinlah menimba ilmu. Tidak rugi pun untuk menambah ilmu, malah ia boleh membuka jalan keluar daripada kebuntuan dalam perniagaan. Kurangkan alasan dan tingkatkan ilmu supaya prestasi perniagaan akan lebih cemerlang,” ujar Rowindy lagi.


Menerusi usaha ini, Rowindy berharap lebih ramai usahawan di Sabah akan mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam ekonomi digital yang sentiasa berkembang pesat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page