Jangka hayat meningkat, KWSP tambah baik sistem persaraan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

18 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang mempergiatkan usaha menambah baik sistem persaraan serta memperkenalkan inovasi kewangan yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran jangka hayat yang lebih panjang.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penambahbaikan dasar serta intervensi strategik penting bagi memastikan ketersediaan generasi muda berdepan cabaran berkenaan serta memperkasa warga emas agar dapat menjalani kehidupan yang bermakna dan berdikari.
Katanya, kecukupan persaraan mesti dibina berasaskan gaji yang adil dan penyertaan yang inklusif, justeru itu semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk KWSP telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar.
“Kami akan terus bekerjasama dengan syarikat pelaburan kami untuk menggalakkan pekerjaan yang bermaruah sebagai asas kepada kemakmuran jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Langkah itu dilaksanakan seiring dengan strategi jangka panjang KWSP dalam memperkukuh sistem persaraan bagi menghadapi peralihan Malaysia kepada status negara tua yang dijangka menyaksikan 14 peratus daripada populasi berumur 65 tahun ke atas menjelang 2043.
Bagi menangani cabaran itu, KWSP memperkenalkan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang membolehkan ahli menilai tahap kesediaan persaraan mereka berdasarkan tiga peringkat iaitu asas, mencukupi dan dipertingkat.
Selain itu katanya, kemudahan pemindahan simpanan antara generasi turut diperkenalkan di bawah Belanjawan 2025 yang membolehkan ahli memperuntukkan sebahagian daripada simpanan mereka untuk menyokong persaraan ahli keluarga.
“KWSP juga terus memperkukuh sokongan kepada pekerja sektor tidak formal menerusi program i-Saraan yang kini menawarkan insentif padanan caruman kerajaan sebanyak 20 peratus, tertakluk kepada had tahunan RM500 dan RM5,000 sepanjang hayat.
“Setakat tahun lalu, bilangan pencarum sukarela meningkat kepada 1.2 juta pencarum dan hampir 70 peratus daripada jumlah tersebut merupakan individu di luar sektor pekerjaan formal, termasuk pekerja gig dengan jumlah caruman sebanyak RM13.7 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, jangka hayat yang lebih panjang telah membuka sempadan baharu dan ruang inovasi menerusi kemunculan ekonomi usia panjang yang didorong oleh sumbangan produktif, penggunaan, dan pengalaman golongan lebih berusia.
“Perkembangan ini tidak terhad kepada persaraan dan penjagaan kesihatan tetapi turut merangkumi cara kita merancang bandar, membentuk tenaga kerja, membangunkan teknologi yang inklusif, serta memupuk pembelajaran sepanjang hayat dan gaya hidup menua yang aktif,” katanya.
Comments