Janji Siap 2025, Madius persoal status Pan Borneo jajaran Tobobon–Telipok–Bulatan Berungis
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

21 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membangkitkan persoalan berhubung kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah jajaran Tobobon–Telipok–Bulatan Berungis.
Menurutnya, pada persidangan Dewan Rakyat tahun lalu, beliau dimaklumkan bahawa projek itu akan siap sepenuhnya pada tahun ini.
"Namun, sehingga pertengahan tahun 2025 pembinaan projek tersebut masih belum menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan berbanding tahun lalu," katanya dalam sesi Soalan Lisan Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menjawab soalan itu di Dewan Rakyat, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan jajaran berkenaan adalah sebahagian daripada Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A, iaitu Pakej WP08: Sepanggar ke Bulatan Berungis sepanjang 11.7 kilometer.
"Ia melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada dua lorong dua hala kepada jalan berkembar tiga lorong dua hala dengan spesifikasi R5.
"Setakat 25 Jun 2025, kemajuan fizikal Pakej WP08 mencapai 83.84 peratus, ketinggalan berbanding sasaran 89.88 peratus.
"Kelewatan ini antara lain berpunca daripada pelaksanaan Projek Pemasangan Paip Telibong 2 di sepanjang jajaran, yang turut menjadi projek utama kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Kota Kinabalu Utara," menurut jawapan bertulis kementerian itu.
KKR memaklumkan, daripada keseluruhan panjang 11.7 kilometer, sepanjang empat kilometer dijangka siap sepenuhnya sebagai jalan berkembar tiga lorong dua hala dan dibuka kepada orang awam menjelang akhir tahun ini.
"Manakala baki jajaran akan disiapkan pada tahun 2026.
"Kerajaan kekal komited memastikan kelancaran pelaksanaan projek memandangkan jajaran tersebut merupakan laluan strategik menghubungkan Tuaran dan Kota Kinabalu.
"Bagi memastikan projek berjalan mengikut perancangan, KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan meneruskan pemantauan ketat, dengan sebarang isu kritikal dibawa terus ke Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB Sabah untuk tindakan segera," ujar kementerian itu lagi.
Comentarios