Australia hargai peranan Malaysia terajui ASEAN – Anwar
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

21 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Australia mengalu-alukan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, khususnya dalam mengendalikan isu serantau termasuk konflik Myanmar, isu gencatan senjata Kemboja-Thailand serta kemasukan Timor Leste sebagai anggota baharu blok serantau itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disampaikan kepadanya ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, hari ini.
“Pertemuan ini membuka ruang pertukaran pandangan untuk mempererat kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, pertahanan serta keselamatan serantau,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Anwar berkata, pertemuan itu adalah sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia yang telah terjalin sejak tahun 1957.
Selain itu, katanya Malaysia turut menyambut baik hasrat Kerajaan Australia untuk mengiktiraf negara Palestin pada Sesi Ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung September ini.
Comments