KPDN tidak berhasrat wujud kedai MADANI
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

21 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak berhasrat untuk mewujudkan kedai rakyat ataupun kedai MADANI pada masa ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia kerana KPDN mahu menumpukan kepada pengukuhan dan perluasan kerjasama strategik dengan rangkaian sektor peruncitan sedia ada sama ada pasar raya, pusat pembelian termasuklah kedai runcit melalui Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM).
Walau bagaimanapun, katanya dalam mempertimbangkan penyertaan kedai-kedai runcit ini, ia haruslah mengambil kira dua perkara pokok iaitu yang pertama, aspek kesesuaian lokasi dan aksesibiliti oleh kumpulan sasar dengan jumlah yang lebih meluas.
“Yang kedua pula, ialah kemampuan dan kemampanan kedai runcit yang terlibat menawarkan kategori barangan iaitu Stock Keeping Unit yang pelbagai," katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan dan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perbahasan Racangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK13) pada persidangan Parlimen disini, hari ini.
Armizan berkata, keputusan untuk tidak melaksanakan kedai rakyat pada masa ini juga adalah berdasarkan pengalaman pelaksanaan kedai seumpamanya di masa lepas seperti KR1M yang melibatkan operasi tinggi seperti sewaan premis, logistik dan penyelenggaraan yang berterusan.
Selain itu, katanya Kerajaan juga berhadapan dengan persepsi tidak adil terkait isu persaingan kedai rakyat dengan peruncit sedia ada.
"Di samping itu, ia juga berhadapan dengan kekangan modal serta bekalan kerana harga barangan murah memerlukan bekalan dan subsidi berterusan dan ini menyebabkan kedai sukar mengekalkan daya saing,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, KPDN sememangnya cakna kepada persoalan mengenai tindakan Kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barang serta tindakan intervensi dalam mengatasi peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan juga telah diterjemahkan di bawah Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK13) melalui strategi A4.3 iaitu ‘Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan’.
“Ia meliputi penambahbaikan infrastruktur, penambahbaikan sektor peruncitan, penyediaan platform untuk ketelusan harga dan penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh.
“Ini termasuklah pembangunan repositori harga dan bekalan untuk menyediakan maklumat bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian bekalan yang akan diperincikan oleh Kementerian Ekonomi bersama-sama Kementerian dan agensi yang berkaitan,” katanya.
Berhubung perkara ini, katanya RMK13 akan menumpukan kepada pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2026–2030 yang akan memfokuskan kepada beberapa isu utama rakyat seperti makanan, kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, pendapatan dan utiliti.
Katanya, pelan ini juga dibangunkan bagi memperkukuh perancangan, pelaksanaan dan pemantauan strategi untuk menangani kos sara hidup dengan memberi tumpuan, antara lain kepada penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurusan subsidi.
“Ia juga akan memberikan fokus kepada penguatkuasaan secara menyeluruh dengan mengintegrasikan skop penguatkuasaan di seluruh rantaian bekalan dan pengedaran untuk menangani gejala pencatutan dan anti-persaingan,” katanya.
Armizan berkata, RMK13 juga memberi perhatian serius kepada pengukuhan pendayaupayaan dan advokasi hak pengguna melalui pengenalan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 yang akan memperincikan Dasar Pengguna Negara 2.0.
“Pelan tindakan ini akan merangkumi aspek pengukuhan tadbir urus, pendayaupayaan pengguna dan pembudayaan penggunaan lestari,” katanya.
Commentaires