Jannie, Ewon sumbang 300 bakul makanan kepada penduduk DUN KapayanJannie, Ewon sumbang 300 bakul makanan kepada penduduk DUN Kapayan
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Jannie, Ewon sumbang 300 bakul makanan kepada penduduk DUN Kapayan


Jannie (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada salah seorang penduduk DUN Kapayan. Turut hadir semasa majlis itu adalah Ewon (dua kiri).

12 Disember 2021

Oleh Ilona Andrew


PENAMPANG: Sebanyak 300 bantuan bakul makanan telah diserahkan kepada penduduk dari 23 buah kampung dan kawasan perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, di sini.


Bantuan itu merupakan sumbangan bersama daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang selaku pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah dan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick yang juga ADUN Kadamaian.


Jannie berkata, sebanyak 200 bakul makanan merupakan sumbangan dari Ewon yang ingin membalas budi baik DAP yang telah menyerahkan bantuan kepada penduduk di kawasan Kadamaian sebelum ini.

Jannie ketika berucap semasa majlis penyerahan bantuan bakul makanan kepada penduduk DUN Kapayan.

“Terima kasih kepada YB Ewon kerana memilih DUN Kapayan untuk menyumbangkan bantuan bakul makanan kepada penduduk.


“Walaupun terdapat bantuan daripada pihak kerajaan sebelum ini, ramai penduduk yang tidak sempat menikmati bantuan itu. Saya berharap agar bantuan ini dapat dimanfaatkan, terutama sekali mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pendeknya sebelum menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk, di Dewan Ganang, hari ini.


“Saya berharap pada tahun hadapan saya boleh bekerja lebih kuat untuk rakyat kerana tahun ini rawatan kanser saya berjalan dengan baik,” tambah beliau yang kini menghidap kanser payudara.

Ewon ketika berucap semasa majlis penyerahan itu.

Sementara itu, Ewon berkata penduduk di kawasannya telah menerima bantuan bakul makanan daripada DAP sebelum ini.


“Beberapa bulan yang lepas di Kadamaian, saya juga dibantu oleh rakan dari DAP, khususnya ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe, menyampaikan bakul makanan kepada 200 orang wakil keluarga yang terjejas akibat pandemik.


“Kali ini merupakan giliran UPKO membalas budi baik DAP dengan menyampaikan sumbangan kepada penduduk DUN Kapayan,


“Kita telah merancang kerjasama seperti ini di Kadamaian dan kawasan-kawasan lain dan ia akan dilaksanakan di kawasan yang kita wakili dan kepada lain-lain yang sudi bersahabat dengan kita,” jelasnya.

Salah seorang penduduk kawasan Kapayan menerima bakul makanan daripada Jannie (kanan).

Johnson yang merupakan salah seorang penduduk DUN Kapayan ketika ditemui merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ewon dan Jannie atas sumbangan bantuan tersebut.


“Terima kasih YB Jannie dan Datuk Ewon atas bantuan yang sedikit sebanyak membantu saya dan keluarga yang terjejas akibat Covid-19.


“Semoga kerjasama antara kedua-dua wakil rakyat ini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.


bottom of page