JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA SANDAKAN TUMPU SANITASI AWAM DI BATU SAPI

26 NOV 2020
SANDAKAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sandakan akan memberi tumpuan terhadap operasi sanitasi awam di kawasan Parlimen Batu Sapi, susulan pengisytiharan darurat di kawasan itu.
Timbalan Pengerusinya ACP Mohd Azhar Hamin berkata, kawasan Parlimen Batu Sapi adalah antara kawasan yang menyumbang kes COVID-19 tertinggi di Sandakan, dan telah menjadi zon merah sejak 6 Okt lepas.
“Operasi sanitasi akan dijalankan dari semasa ke semasa bergantung kepada sesuatu kawasan yang mempunyai jumlah kes COVID-19 yang tinggi. “Buat masa ini, kawasan yang menjadi tumpuan ialah Batu Sapi, yang sepatutnya berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 5 Dis depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Inisiatif Bersepadu Mengekang Penularan COVID-19 di Kampung Bahagia, Batu Sapi dekat sini hari ini.
Mohd Azhar, yang juga Ketua Polis Daerah Sandakan berkata selain usaha sanitasi tempat awam seperti masjid dan balai raya, saringan COVID-19 secara percuma dan kempen kesedaran turut diadakan di Kampung Bahagia.
“Kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai impak COVID-19 amat penting dan ia boleh dihindari, sekali gus memutuskan rantaian penularan wabak itu dengan cara yang betul,” katanya.
Pada 18 Nov lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di kawasan Parlimen berkenaan, sekali gus membatalkan PRK itu.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt lepas akibat jangkitan paru-paru.
Sehingga semalam, Sandakan mencatatkan 1,134 kes aktif. - Bernama
تعليقات