top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah perlu ditubuhkan - Ewon

Jeffrey menyampaikan Sijil Status PMKS kepada Norsiah Ahiddin, pemilik dan Pengarah Urusan syarikat Norcy Beautylab. Turut disaksikan Ewon (dua dari kiri), Phoong (kiri), Zamree (tiga dari kanan), Dompok (dua dari kanan dan Rizal.

16 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah perlu ditubuhkan.


Beliau berkata, ini penting bagi menyelaras semua program berkaitan pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan pelbagai kementerian.


“Saya telah menyatakan kepada kepimpinan Sabah untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan Sabah supaya hal-hal berkaitan perkhidmatan pembangunan dan pembiayaan dapat diselaraskan.


“Di seluruh negara, terdapat sebanyak 66 agensi dan jabatan berkaitan keusahawanan yang terlibat memberikan perkhidmatan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) diletakkan di pelbagai Kementerian sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.

Ewon dan Jeffrey melawat pameran produk tempatan pada majlis itu.

“Daripada 66 agensi yang berkaitan keusahawanan, hanya 10 agensi dibawah kementerian saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Minggu PMKS sempena Minggu Usahawan Negara Zon Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor.


Ewon berkata, adanya jawatankuasa penyelarasan berkaitan keusahawanan akan memudahkan penyaluran pembiayaan dan pelaksanaan program-program pembangunan tanpa berlaku pertindihan

“Kementerian saya telah menyenaraikan pelbagai inisiatif baharu berkaitan pembangunan usahawan dan PMKS di seluruh negara.


“Antara yang telah kita kemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan ialah memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dari segi program pembiayaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu sesi libat urus akan diadakan bersama setiap kementerian berkaitan untuk mendengar pandangan mereka termasuk pandangan daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.


Ewon turut menyarankan semua PMKS berdaftar supaya mendapatkan sijil akuan PMKS dari SME Corp. Malaysia bagi menikmati bantuan bersasar yang diperkenalkan kerajaan.


“Sijil Akuan Status PMKS ini adalah satu perakuan status yang disediakan oleh SME Corp bagi memudahkan PMKS menyertai program atau memohon insentif dan mendapatkan bantuan bersasar.


“Status ini juga adalah bagi memastikan PMKS memenuhi definisi nasional yang

telah ditetapkan oleh kerajaan melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK),” katanya.

Beliau berkata, inisiatif Pendaftaran Status PMKS Malaysia diperkenalkan oleh kementeriannya melalui SME Corp bagi mengesahkan status saiz syarikat/ perniagaan samada perusahaan Mikro, Kecil atau Sederhana.


Mengenai pasaran antarabangsa, Ewon berkata, KUSKOP amat menggalakkan usahawan menerokai pasaran luar bagi mengembangkan lagi perniagaan dan perkhidmatan.


“Berdasarkan statistik, prestasi eksport PMKS meningkat RM124.3 billion pada 2022 berbanding RM117.8 billion pada 2020.


“KUSKOP melalui SME Bank telah memperkenalkan program eksport iaitu Business Export Programme (BEP) yang menyediakan bantuan geran sebanyak RM200,000.

“Manakala Program SMEs Go Global (SMEGG) dan Galakan Eksport Bumiputera (GEB) menyediakan bantuan geran sehingga RM250,000 untuk membantu mengembangkan kapasiti dan keupayaan usahawan bagi tujuan eksport ke pasaran luar.


“Saya berharap lebih ramai usahawan Sabah dibantu untuk bersaing ke peringkat antarabangsa, sekaligus meningkatkan nilai eksport negara dan mempersiapkan para usahawan untuk Unlocking Global Potential,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan akan terus memberikan sokongan dalam memastikan keupayaan PMKS dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi, sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus melonjakkan Malaysia di mata dunia.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Hj. Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Thomas Logijin.

Comments


bottom of page