Jawatankuasa Pilihan Khas harus bebas dan telus siasat kes Azam BakiJawatankuasa Pilihan Khas harus bebas dan telus siasat kes Azam Baki
top of page
  • Farah Salim

Jawatankuasa Pilihan Khas harus bebas dan telus siasat kes Azam Baki



14 Jan 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) yang akan menyiasat isu kontroversi pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki lebih telus.


Mereka juga mahu agar penyata JPK mengenai siasatan itu dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebaik sahaja selesai.


“Parlimen melalui jawatankuasa-jawankuasanya sepatutnya terus proaktif memberikan maklum balas kepada isu nasional khususnya melibatkan pertuduhan rasuah yang mengaitkan institusi awam seperti SPRM agar nilai kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan terus terpelihara,” kata kenyataan itu, hari ini.


Kenyataan media Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional itu ditandatangani oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Institute for Political Reform and Democracy (REFORM), ENGAGE, Persatuan Pengundi Muda (UNDI18), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), WISDOM Foundation dan Bait Al-Amanah.


Kumpulan itu turut menggesa agar sesi pendengaran dijalankan secara terbuka dan disiarkan secara langsung di saluran rasmi Parlimen dan Kerajaan agar keyakinan rakyat terhadap institusi Parlimen yang bertindak sebagai badan semak dan imbang kepada eksekutif kekal utuh.


Menurut kenyataan itu satu mesyuarat JPK bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan diadakan pada 19 Januari ini bagi membincangkan isu kontroversi pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.


“Difahamkan JPK telah meminta Tan Sri Azam Baki untuk hadir dalam sesi pendengaran pada 19 Januari. Kami meminta supaya JPK mengumumkan terma rujukan siasatan yang akan dijalankan. Terma rujukan ini perlu secara jelas menggariskan tujuan siasatan dan skop siasatan yang akan dijalankan.


Skop siasatan hendaklah termasuk mendapatkan penjelasan mengenai beberapa perkara termasuk pegangan saham Tan Sri Azam Baki dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam dakwaan semasa terhadapnya dalam tempoh masa yang berkaitan, dan sejauh mana dan tujuan beliau memegang saham tersebut secara benefisial bagi pihak orang lain.


“Sama ada pegangan saham Tan Sri Azam Baki dalam syarikat-syarikat tersebut, atas namanya sendiri atau digabungkan dengan pegangan saham pemilik benefisial sebenar dan mana-mana penama lain, berjumlah sekurang-kurangnya 5 peratus daripada saham/ saham mengundi dalam mana-mana satu syarikat, dan sama ada gabungan pegangan saham mungkin telah mencetuskan kewajiban pelaporan, had dan kesalahan berkaitan pegangan saham substansial di bawah Akta Syarikat 2016 sekiranya pemilikan benefisial telah diisytiharkan dengan sewajarnya dan tepat pada masanya;


“Punca dana untuk pembelian saham berkenaan, dan sama ada beliau menerima sebarang hasil jualan, dividen atau keuntungan lain daripada pemilikan saham tersebut; sama ada sebagai pemegang saham syarikat pada masa yang berkaitan, beliau mengambil bahagian sama ada secara langsung atau melalui proksi dalam resolusi pemegang saham atau keputusan yang mempengaruhi perniagaan, pentadbiran atau operasi syarikat-syarikat,” kata kenyataan media, hari ini.


Selain itu, kumpulan itu juga meminta agar JPK memanggil semua pihak yang terlibat dalam isu ini untuk memberi penjelasan.


Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional adalah sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan academia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page