JCI Intan Beri Peluang Golongan Muda Asah Bakat Kepimpinan

19 Sept 2026
KOTA KINABALU: Junior Chamber International (JCI) Intan memberi peluang kepada golongan muda untuk mengasah bakat kepimpinan.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, golongan muda perlu mempunyai keupayaan untuk bekerjasama dengan masyarakat daripada pelbagai negara, budaya dan latar belakang, selain berani mengemukakan idea serta pandangan sendiri.
"Pengalaman yang diperoleh menerusi penglibatan dalam organisasi sukarela seperti JCI Intan dapat membentuk kemahiran kepimpinan, pengurusan dan membuat keputusan dalam kalangan generasi muda.
"Pemimpin muda perlu belajar menyemak maklumat yang diterima, mendengar sebelum membentuk pandangan serta bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan dan dilakukan apabila seseorang ahli mengetuai projek komuniti, mereka akan belajar mengurus bajet, bekerja dengan pasukan dan membuat keputusan.
"Kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab, menepati janji, berlaku adil dan memastikan tugasan yang dipersetujui dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Makan Malam Jubli Emas JCI Intan yang berlangsung di sini pada Jumaat.
Menurut Masidi, sepanjang 50 tahun penubuhannya, JCI Intan berjaya membuktikan kejayaan yang dapat dicapai melalui kepimpinan wanita.
"JCI Intan memberikan peluang dan pengalaman kepada golongan wanita untuk melaksanakan pelbagai aktiviti, menjalinkan kerjasama serta memikul tanggungjawab.
"Pengalaman ini menjadi satu perkara yang sangat berguna kepada mereka meskipun tempoh mereka memikul tanggungjawab itu telah berakhir," tambahnya.
Beliau berharap pada masa hadapan, ahli muda JCI Intan mendapat lebih banyak pendedahan dalam aspek kepimpinan dan tanggungjawab, selain diberikan sokongan secara berterusan.
Hadir sama, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal dan Pengerusi Penganjur Sambutan Jubli Emas Ke-50 JCI Intan, Chai Moi Len./Penerangan-















Comments