Jeffrey Kitingan dilantik Pengerusi SAMA
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

10 April 2026
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Sabah Agricultural Marketing Authority (SAMA) dalam satu majlis ringkas di Wisma Pertanian, di sini.
Jeffrey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, mendahului penerimaan watikah berkenaan sebelum diikuti barisan ahli jemaah pengarah agensi itu.
SAMA merupakan agensi baharu yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi memperkukuh aspek pemasaran dan pembangunan hiliran sektor agromakanan negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, SAMA berperanan membantu memperluas pemasaran produk pertanian, perikanan, penternakan serta industri makanan ke pasaran domestik dan eksport.
“Penubuhan SAMA ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan industri agromakanan di Sabah, khususnya dari segi pemasaran dan pembangunan produk hiliran,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Jeffrey bersama jemaah pengarah yang dilantik mampu memacu SAMA mencapai matlamatnya dalam memajukan sektor pemasaran hasil pertanian dan makanan negeri.
SAMA dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan petani, penternak dan nelayan di Sabah melalui penyediaan akses pasaran yang lebih tersusun dan berdaya saing.















Comments