top of page

Jelajah program HATI INSKEN bangunkan usahawan melalui latihan daripada BisKaunselor & Industry Coach.

  • nabalunews
  • Aug 24
  • 2 min read

ree

24 Ogos 2025


KOTA BELUD: Program Hari Terbuka Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) Kampus Sabah (HATI) yang kelima menjadi platform strategik memperkasa usahawan kecil dan mikro melalui bimbingan dari BisKaunselor dan Industry Coach.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata program itu adalah sebahagian daripada 233 program latihan dan bimbingan INSKEN yang akan dilaksanakan di seluruh negara tahun ini termasuklah Seminar Usahawan MADANI.


Beliau berkata, daripada jumlah itu, setakat ini, hampir 200 program INSKEN telah dianjurkan di seluruh negara.

ree

“Program-program INSKEN sentiasa mendapat sambutan amat menggalakkan dan setakat hari ini, lebih 500 peserta berjaya menyertai Program HATI, di Sabah.


“Di Sabah sahaja, program ini telah dilaksanakan di Kota Kinabalu, Penampang, Sepanggar dan hari ini di Kota Belud. Selepas ini akan diteruskan ke Keningau dan Tawau. Ini membuktikan usaha kita untuk memperluaskan capaian program ke seluruh Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program HATI INSKEN, di Tag Valley, Kota Belud, di sini, hari ini.

ree

Ewon berkata, Sabah merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah penyertaan usahawan tertinggi bagi program anjuran INSKEN sejak penubuhan pejabat kampus agensi itu di Sabah pada 2023.


Beliau berkata, program-program anjuran INSKEN menampilkan tenaga pengajar yang dikenali sebagai Industry Coach; berpengalaman daripada kalangan usahawan berjaya bagi memberi pendedahan praktikal dan inspirasi kepada peserta.


“Program seperti ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, memperluas akses ilmu, teknologi dan sokongan perniagaan, khususnya untuk penjaja dan peniaga kecil.


“Di Kota Belud, fokus program HATI adalah memperkenalkan teknik penggunaan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan dengan lebih cekap dan menguntungkan,” katanya.


Beliau turut berkongsi kisah kejayaan beberapa perusahaan sosial dan koperasi seperti Dapur Digital, Silent Teddies, Haos Ek? dan Koperasi Pemandu Teksi dan Limosin Langkawi yang berjaya mengubah cabaran menjadi peluang perniagaan.


Ewon berharap usahawan yang hadir ke program berkenaan dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan bimbingan yang disampaikan untuk memperkukuh perniagaan masing-masing serta menjadi inspirasi kepada usahawan lain.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page