Jemaah haji Sabah diingat jaga reputasi baik negara di Tanah Suci
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

12 April 2026
KOTA KINABALU: Bakal jemaah haji negeri ini diingatkan agar sentiasa menjaga reputasi baik jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata jemaah haji Malaysia dikenali sebagai antara yang paling berdisiplin, tertib serta berakhlak baik, justeru reputasi tersebut perlu terus dipelihara.
“Reputasi ini perlu terus dipelihara kerana jemaah bukan sahaja membawa nama baik diri sendiri, malah mewakili Malaysia di umat Islam dari seluruh dunia.

“Sepanjang berada di sana, jemaah perlu bersabar menghadapi persekitaran yang berbeza berbanding di tanah air, termasuk kesesakan jutaan umat Islam serta keadaan cuaca yang panas dan berdebu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) bagi musim haji 1447H/2026M, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bakal jemaah supaya mematuhi nasihat petugas haji, menjaga pemakanan selain tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan.
Katanya, jemaah juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya mengalami sebarang masalah kesihatan.
Selain itu, katanya dalam keadaan dunia yang semakin mencabar termasuk perkembangan geopolitik di Asia Barat dan Timur Tengah, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Sekiranya berdepan sebarang masalah atau mempunyai pertanyaan, jemaah perlu segera berhubung dengan TH bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Kursus Perdana Haji (KPH) itu disertai seramai 502 bakal jemaah haji dari daerah Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud.
Program berkenaan bertujuan mempersiapkan bakal jemaah dari aspek mental, fizikal dan kefahaman ibadah haji melalui modul praktikal manasik haji, termasuk tawaf, saie dan melontar jamrah.















Comments